Toyota henti jualan tiga model di Jepun susulan enam kes penyelewengan data ujian keselamatan

312

Skandal isu keselamatan melibatkan Toyota masih lagi belum menemukan titik penghujung.

Terbaharu, syarikat automotif gergasi Jepun itu mengumumkan jualan bagi tiga model kenderaan dihentikan buat sementara waktu, iaitu Corolla Axio, Corolla Fielder dan Yaris Cross.

Ini adalah berikutan penemuan ketidakaturan data ujian pelanggaran melibatkan sehingga tujuh model kenderaan termasuklah tiga model disebutkan tadi yang masih lagi dijual di pasaran Jepun.



 

Dalam sidang media, Pengerusi Akio Toyoda mendedahkan pihaknya telah memaklumkan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun pada 31 Mei tentang kaedah ujian yang berbeza digunakan berbanding piawaian yang telah ditetapkan.

Seperti contoh, untuk model Corolla Axio/Fielder, Toyota menggunakan data daripada ujian pembangunan untuk menilai impak pelanggaran kepada kepala pejalan kaki pada sudut 65 darjah, di mana ia sepatutnya dinilai pada sudut 50 darjah mengikut undang-undang.

Untuk model Yaris Cross pula terdapat perubahan undang-undang yang telah diabaikan oleh Toyota di mana pengeluar itu sepatutnya melakukan ujian penilaian semula terhadap kerosakan bangku belakang disebabkan oleh bagasi yang dimuatkan pada ruang kargo ketika kemalangan.

Namun begitu, hanya data ujian lama yang telah dihantar oleh Toyota untuk permohonan persijilan.

 

Empat lagi kes penyelewengan data ujian melibatkan model-model yang telah lama dihentikan jualannya, seperti Toyota Crown, Toyota Sienta, Toyota Isis dan juga Lexus RX.

Dalam kes Crown dan Isis, Toyota menggunakan teknik yang digelar sebagai timer ignition method untuk mencipta keadaan pelanggaran yang lebih teruk berbanding apa yang ditetapkan oleh ujian pensijilan.

Toyota juga dilapor telah menghantar data ujian pelanggaran yang salah untuk model Corolla, Sienta dan Crown, di mana pengeluar itu sepatutnya menghantar data ujian pengukuran pelanggaran kiri dan kanan secara berasingan.

Untuk ujian pelanggaran belakang bagi model Crown dan Sienta, Toyota dikatakan menggunakan unit penghadang bergerak yang lebih berat, iaitu 1,800 kg berbanding 1,100 kg yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Kes terakhir pula melibatkan Lexus RX di mana enjin model SUV mewah tersebut tidak dapat menghasilkan output sasaran seperti yang ditetapkan.

Ujian tersebut sepatutnya dihentikan, namun Toyota mengakui sistem kawalan enjin telah dilaras supaya dapat menghasilkan kuasa output yang disasarkan, dan data yang telah diuji semula itu kemudian digunakan untuk permohonan pensijilan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here