Sejak Toyota Gazoo Racing dilancarkan, khabar angin mengenai kebangkitan semula model-model seperti MR2 dan Celica sudah acapkali kedengaran, membuatkan peminat-peminat kereta sport begitu teruja.
Laporan terbaru dari Jepun mengatakan yang Toyota akan menghidupkan semula Celica sebagai model GR dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang digandingkan dengan sistem pacuan GR-Four AWD.
Tahun lalu, pengerusi Toyota, Koji Sato pernah menyatakan hasratnya untuk menghidupkan semula Celica dan ini disusuli dengan desas-desus mengenai sebuah kereta sport EV yang berasaskan Lexus LF-ZC Concept.
Walau bagaimanapun, dengan pembentukan pakatan Toyota-Subaru-Mazda bagi membangunkan enjin pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu, Celica berkemungkinan besar akan kembali dengan enjin ICE petrol.
Dalam kenyataan rasmi baru-baru ini, Toyota mengesahkan yang mereka sedang membangunkan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter empat silinder yang sedia untuk dielektrifkasi dan serasi dengan bahan api alternatif.
Pengumuman tersebut serta penampakan enjin 2.0 liter turbo pada acara Tokyo Auto Salon 2024 menguatkan lagi khabar angin mengenai kehadiran Celica generasi baharu.
Portal Best Car dari Jepun mendakwa pembangunan enjin berprestasi tinggi baharu itu sebenarnya bermula beberapa tahun yang lalu dan sudah pun selesai.
Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian mengenai enjin tersebut namun portal itu menjangkakan ia mempunyai kira-kira 400 hp, selain digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four dari GR Yaris dan GR Corolla.
Reka bentuk Celica baharu itu juga masih menjadi misteri namun sebagai sebuah kereta sport, ia berkemungkinan besar mempunyai badan jenis coupe yang rendah seperti model-model generasi terdahulu.
Selain itu, bagi membezakannya dengan jentera GR yang lain, ia juga mungkin mempunyai ruang kabin yang lebih mewah.
Menurut maklumat yang belum disahkan dari Negara Matahari Terbit itu, model konsep Celica baharu mungkin akan diperkenalkan di Tokyo Auto Salon 2025 yang akan berlangsung pada Januari.