Renault, Geely bikin syarikat baharu, fokus bangunkan enjin ICE, hibrid

118

Pengeluar automotif Perancis Renault bersama rakan kongsinya dari China, Geely mengumumkan satu syarikat kerjasama (JV) baharu yang akan bertanggungjawab untuk membangunkan enjin-enjin pembakaran dalaman dan rangkaian kuasa hibrid.

Syarikat Horse Powertrain Limited yang beribu pejabat di London itu akan mereka, membangun, memasang dan menjual dan membekalkan sistem dan penyelesaian unit rangkaian kuasa dan hibrid, termasuklah enjin, transmisi dan bateri kepada beberapa syarikat automotif utama dunia.

Selain daripada Renault dan Geely, bekalan enjin itu juga akan disalurkan kepada rakan sepakatan Renault, iaitu Nissan dan Mitsubishi, serta dua buah syarikat di bawah naungan Geely, iaitu Volvo dan Proton.



 

Selain daripada membangunkan teknologi rangkaian kuasa masa hadapan, syarikat Horse Powertrain itu juga akan meneroka penggunaan bahan api alternatif seperti metanol, etanol dan juga hidrogen.

Dengan memiliki kira-kira 17 buah kilang di seluruh dunia, lima buah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kekuatan tenaga pekerja sekitar 15,000 orang, Horse Powertrain dijangka mampu menjana pendapatan tahunan menghampiri €15 bilion (RM77 bilion).

Kedua-dua Geely dan Renault sebelum ini bersetuju untuk membentuk syarikat baharu pada 11 Julai 2023, namun proses tersebut memakan masa kira-kira 11 bulan bagi membolehkan pihak berkuasa meluluskan pembentukan syarikat baharu itu.

Mereka percaya, kombinasi teknologi rangkaian kuasa adalah diperlukan untuk mencapai sasaran nyahkarbon.

Malah, Renault dan Geely juga percaya lebih separuh daripada kenderaan yang diproduksikan menjelang 2040 masih lagi memerlukan peranan enjin pembakaran dalaman.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here