ID.7 GTX adalah EV keluaran Volkswagen paling berkuasa setakat ini

183

Selepas memperkenalkan wagon elektrik berprestasi tinggi ID.7 GTX Tourer pada Mac lalu, kini Volkswagen mendedahkan pula versi sedan fastback yang dikenali sebagai ID.7 GTX.

Bersama dengan model Tourer tersebut, ID.7 GTX merupakan kenderaan elektrik Volkswagen yang paling berkuasa setakat ini.



Tidak seperti ID.7 ‘standard’ yang mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang, varian GTX ini didatangkan dengan motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan mencecah 340 PS.

Ini membolehkan sedan fastback itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.4 saat sahaja. Walau bagaimanapun, kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

ID.7 GTX didatangkan dengan bateri 86 kWj yang memberikan jarak pandu sejauh 595 km berdasarkan kitaran WLTP. Bateri itu menyokong pengecasan pantas 200 kW yang membolehkan ia dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 26 minit.

Penampilan luaran model ini boleh dibezakan menerusi gril mesh yang lebih besar pada bampar depan, rim Skagen berukuran 20 inci, logo GTX pada pintu dan lampu matriks IQ.Light LED dengan lampu nyalaan siang dengan rekaan spesifik untuk varian GTX.

Di dalam, terdapat logo GTX pada tempat duduk, serta stereng multifungsi dengan panel tengah dan jahitan berwarna merah. 

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna, serta beberapa ciri lain seperti Apple CarPlay dan Android Auto, head-up display realiti terimbuh (AR), sistem bantuan suara IDA dengan ChatGPT dan pendingin hawa dua zon.

Salah satu ciri menarik yang ditawarkan sebagai opsyen adalah Park Assist Pro, yang membolehkan pemandu memarkir kenderaan dengan menggunakan telefon pintar mereka.

Di Jerman, tempahan untuk model ini akan dibuka pada 6 Jun dengan harga jualan bermula dari 63,155 euro (RM321,530).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here