Di Amerika Syarikat, VinFast telah memanggil semula kira-kira 284 unit crossover elektrik VF 8 yang mungkin dilengkapi dengan sistem beg udara yang tidak berfungsi.
Menurut laporan daripada Safety Recall Report, kempen panggil semula ini melibatkan model VF 8 tahun 2022 hingga 2024, di mana ada di antara model tersebut didapati dipasang dengan peledak beg udara lengai (tidak aktif).
Kes pertama mula dikesan pada 19 April lalu apabila seorang pelanggan di Vietnam membuat aduan di pusat pengedar berkenaan lampu amaran beg udara yang menyala.
Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dilengkapi dengan peledak lengai, di mana komponen spesifik tersebut hanya dipasang pada kenderaan pra-produksi untuk memastikan keselamatan para jurutera semasa ujian pembangunan fasa akhir.
Selain melancarkan kempen panggil semula secara sukarela, VinFast turut mengarahkan supaya model VF 8 tersebut dihentikan penjualan dan penghantarannya di peringkat global.
Mujur tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan melibatkan model VF 8, dan kesemua kenderaan yang terjejas akan dipasangkan dengan peledak beg udara aktif baharu.