Mana-mana model Audi yang menggunakan nama ‘RS’ sebenarnya sudah cukup berkuasa. Ini termasuklah Audi RS7 Sportback yang mempunyai 591 hp dalam versi standard dan 621 hp dalam versi Performance.
Walau bagaimanapun, jika itu masih tidak mencukupi, pemilik RS7 Sportback boleh mendapatkan pakej naik taraf prestasi RS7-S yang ditawarkan oleh ABT Sportsline. Ia tidak sepadu pakej RS7-R yang sedia ada namun cukup untuk membuatkan pemilik RS7 teruja.
Dengan pakej ini, kuasa yang dihasilkan oleh enjin twin-turbo 4.0 liter V8 itu melonjak kepada 720 hp, manakala tork meningkat dari 850 Nm kepada 950 Nm.
Bukan itu sahaja, bunyi yang dihasilkan juga lebih garang dengan adanya sistem ekzos baharu dengan injap yang dikawal secara elektronik.
Prestasi RS7-S tidak dinyatakan namun dengan peningkatan kuasa yang signifikan ini, ia pastinya lebih laju berbanding versi ‘standard’ yang mengambil masa hanya 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Pakej RS7-S turut merangkumi naik taraf casis dalam bentuk gegelung coilover baharu dan bar penstabil pada gandar hadapan dan belakang.
Selain itu, pelanggan juga akan mendapat pakej aerodinamik yang terdiri daripada komponen-komponen yang diperbuat daripada gentian karbon seperti lip hadapan, bilah hadapan, skirting sisi dan spoiler belakang.
Sebagai pelengkap pakej, ABT turut menyertakan rim aloi berukuran 22 inci dan empat muncung ekzos berwarna hitam kusam dengan ukuran diameter 102 mm.
Ruang kabin pula menampilkan penutup tombol gear gentian karbon, sulaman ‘RS7-S’ pada kerusi dan karpet, serta logo ‘ABT’ pada perehat kepala, butang penghidup enjin dan lampu selamat datang.
Tidak cukup dengan itu, ABT turut menawarkan beberapa aksesori tambahan lain seperti sistem suspensi sport, stereng sport dengan balutan Alcantara, paddle shifter gentian karbon dan filem pelindung cat.
Pakej ini dijual pada harga 48,900 euro (RM247,195). Setiap komponen didatangkan dengan waranti selama lima tahun.