Toyota uji Hilux berkuasa hidrogen, janjikan jarak pandu 600 km

70

Selain daripada memperkasakan peranan enjin pembakaran dalaman (ICE), Toyota juga percaya hidrogen merupakan salah satu cara berkesan untuk mencapai sasaran neutral karbon.

Di Britain, sebanyak 10 unit prototaip Toyota Hilux FCEV telah pun siap dibina dan sedia untuk diuji untuk menilai keperluan penggunaan sistem sel bahan api hidrogen dalam trak pikap.

 



Unit rangkaian kuasa yang diperoleh daripada sedan Toyota Mirai itu turut mempunyai tiga tangki simpanan hidrogen, membolehkan trak ini bergerak sejauh 600 km untuk setiap isian penuh.

Tangki simpanan bertekanan tinggi itu diintegrasikan ke dalam casis ladder-frame, dengan jumlah kapasiti sekitar 7.8 kg.

Sementara bawah hud enjin pula terdapat timbunan 330 sel bahan api elektrolit polimer yang bertanggungjawab menghasilkan tenaga sebelum disimpan dalam pek bateri lithium-ion pada bed kargo belakang.

 

Menggerakkan trak pikap ini ialah motor elektrik pacuan belakang berkuasa 180 hp dan 300 Nm.

Unit rangkaian kuasa yang serba ringan ini membolehkan trak pikap Hilux FCEV ini mempunyai had muatan dan tunda yang lebih tinggi berbanding trak pikap elektrik penuh, sekaligus menawarkan jarak gerak yang lebih jauh.

Lebih penting, trak pikap ini tidak lagi menghasilkan emisi yang mencemarkan alam, dan tidak perlu bergantung kepada jaringan pengecasan yang agak terhad.

 

Daripada 10 unit prototaip yang dibina, lima unit akan digunakan untuk ujian lapangan manakala selebihnya akan diperuntukkan untuk kegunaan pelanggan dan demonstrasi media (termasuk sukan Olimpik dan Paralimpik 2024).

Difahamkan, Toyota kini sedang membangunkan teknologi sel bahan api generasi ketiga yang bakal menerjah dunia menjelang tahun 2026/2027.

Generasi baharu FCEV ini dijangka menawarkan peningkatan jarak gerak sebanyak 20 peratus, selain penjimatan kos lebih daripada satu pertiga, terima kasih kepada kemajuan dalam teknologi dan peningkatan jumlah pengeluaran.

 

Unit rangkaian kuasa sel bahan api hidrogen merupakan sebahagian daripada pendekatan berbilang jalan (multi-pathway) yang diunjurkan oleh Toyota untuk mencapai neutraliti karbon, selain daripada enjin hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV), kenderaan eletkrik bateri (BEV) dan bahan api lestari (e-fuel).

Toyota menjangkakan Eropah akan menjadi salah satu pasaran terbesar bagi kenderaan sel bahan api hidrogen menjelang 2030.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here