Video helikopter ‘tembak’ Lamborghini, YouTuber diheret ke mahkamah

51

Seorang YouTuber terkenal di Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan di mahkamah selepas memuat naik video di media sosial menunjukkan dua wanita melepaskan bunga api dari helikopter ke arah sebuah Lamborghini.

Portal NBC melaporkan, Suk Min Choi, yang menggunakan nama Alex Choi di media sosial, didakwa menyebabkan peletakan bahan letupan atau bahan pembakar pada pesawat.

Pertuduhan itu berpunca daripada video dimuat naik Choi pada 4 Julai tahun lalu, bertajuk ‘Memusnahkan Lamborghini Dengan Bunga Api’, menurut afidavit jenayah persekutuan yang difailkan pada Selasa minggu lalu di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah California Tengah .



Pihak berkuasa persekutuan berkata, Choi tidak mendapat kelulusan yang diperlukan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk merakam video itu, malah tiada lesen atau permit bahan letupan daripada Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan.

 

Menerusi video berdurasi hampir 11 minit itu, Choi menekan butang ‘peluru berpandu api’ dan dua wanita dalam helikopter dilihat melepaskan bunga api ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV) Lamborghini, kata afidavit itu.

“Selepas merakam aksi langsung bagi adegan permainan video fiksyen, video itu beralih ke belakang tabir menyaksikan bagaimana Choi merakam sepertiga pertama daripada video itu,” lapor dokumen mahkamah.

Choi, yang mempunyai hampir satu juta pengikut di saluran YouTube tidak dapat dihubungi untuk komen.

Video itu sudah diturunkan, namun tidak jelas sama ada Choi mendapatkan khidmat peguam atau sebaliknya

Choi dibebaskan pada Khamis lalu selepas membayar bon AS$50,000 (kira-kira RM235,813) dan perbicaraan dijadualkan pada 2 Julai depan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here