Litar Willow Springs untuk dijual, ada sang pemberani?

99

Umum mengetahui tempat yang paling selamat untuk melampiaskan nafsu kuasa kuda adalah di litar lumba.

Akan tetapi, tidak banyak litar lumba yang boleh diakses dengan mudah, ada yang mengenakan yuran yang agak mahal, dan slot yang ditawarkan pula terhad untuk sepanjang tahun.

Jika anda mempunyai wang yang mencukupi, apa kata sambar sahaja sebuah fasiliti litar lumba yang terletak di California, lebih tepat lagi Willow Springs International Raceway.



 

 

Litar yang terletak atas tanah berkeluasan 2.43 km persegi itu kini sedang mencari pemilik baharu selepas 62 tahun dijaga oleh keluarga mendiang Bill Huth.

Terletak kira-kira 128.7 km dari Los Angeles, Willow Springs merupakan sebuah kompleks yang terdiri daripada tujuh litar berasingan, termasuklah litar utama Big Willow, Streets of Willow, Horse Thief Mile, skidpad, autocross dan dirt oval.

Ia dibuka pada tahun 1953, di mana aspek rekaan litar ini telah mendapat input daripada individu berpengaruh Ken Miles, dan ia juga turut menjadi lokasi penggambaran filem Ford v. Ferrari.

 

Pada tahun 1962, fasiliti ini telah dibeli oleh Bill Huth dengan tujuan untuk menjadikan seksyen lurus Big Willow sebagai litar drag.

Namun hasrat tersebut tidak kesampaian memandangkan laluan yang dimaksudkan itu terlalu pendek jaraknya untuk dijadikan sebagai litar drag.

Setelah Bill Huth meninggal dunia pada tahun 2015 ketika berusia 91 tahun, operasi litar ini telah dikendalikan oleh ahli keluarganya sehingga kini.

Iklan penjualan tanah ini turut disenaraikan dalam LoopNet, namun tiada sebarang tanda harga dipaparkan buat masa ini. Anda mahu jadi sang pemberani?

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here