Sekali imbas, bas yang dikenali sebagai Praetorian TG3 ini mungkin nampak seperti bas biasa tetapi jangan salah sangka kerana ia mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan ekstrem.
Dihasilkan oleh Torsus dari Republik Czech, Praetorian TG3 dibina menggunakan ‘kerangka’ trak MAN TGM yang mempunyai ukuran panjang kira-kira 8.7 meter dan lebar 2.5 meter.
Ia mampu memuatkan sehingga 35 orang penumpang pada satu-satu masa. Bagi memastikan ia dapat menggalas tugas itu dengan mudah, Torsus menggunakan enjin 6.9 liter enam-silinder dari MAN yang mampu menjana 290 hp dan 1,146 Nm.
Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi 12 kelajuan dari ZF dan sistem pacuan empat roda.
Menariknya, bas ini mempunyai empat mod pemanduan untuk situasi berbeza. Mod Efficiency digunakan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api, manakala Low-Range dan Off-Road paling sesuai digunakan apabila pemandu mula berhadapan situasi sukar.
Paling menarik adalah mod Emergency di mana kuasa enjin akan dipertingkatkan ke tahap maksimum untuk digunakan ketika operasi menyelamat.
Beralih ke bahagian casis pula, bas ini dilengkapi dengan sistem suspensi udara pada gandar depan dan belakang.
Apabila digabungkan dengan tayar Michelin XZL bersaiz 365/80 R20, Praetorian TG3 mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 13.7 inci, sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 22 darjah dan sudut breakover 41 darjah.
Selain itu, ia juga dikatakan boleh meranduk air sedalam 2.2 kaki dan dengan tork yang begitu tinggi, Torsus mendakwa bas rekaannya ini mampu mendaki cerun dengan kecuraman sehingga 65 darjah.
Menurut Torsus, Praetorian TG3 boleh didapati dengan 14 pilihan konfigurasi tempat duduk. Harga jualan di Eropah bermula dari 225,831 euro atau kira-kira RM1.15 juta mengikut kadar pertukaran semasa.