Afrika Selatan adalah antara negara yang merekodkan kadar jenayah tertinggi di dunia, jadi tidak hairanlah permintaan untuk pakej kalis peluru untuk kereta sentiasa ada.
Bagi pemilik Volkswagen Golf GTI Mk8 di negara itu, mereka kini boleh menaik taraf hot hatch mereka dengan perisai yang boleh menahan serangan pelbagai jenis senjata api termasuk raifal AK-47.
Dibangunkan oleh syarikat tempatan yang dikenali sebagai SVI Engineering, pakej berkenaan menawarakan perlindungan bertaraf B4+ menerusi penggunaan plat keluli setebal 3.5 mm pada pintu, tiang, bumbung dan dapra.
Selain itu, tingkap kaca yang asal digantikan dengan kaca balistik ringan untuk memberikan perlindungan tambahan kepada penumpang.
Tingkap sebelah pemandu kini hanya boleh dibuka separuh, manakala tingkap-tingkap yang lain dikunci sepenuhnya untuk tujuan yang sama.
Menurut SVI Engineering, plat keluli tersebut kalis peluru pistol dan raifal sehingga 7.26 x 39 mm, manakala kaca balistik itu boleh menahan sehingga empat tembakan dari raifal AK-47.
Syarikat itu turut menambah baik sistem suspensi depan dan belakang, memandangkan pakej ini memberikan berat tambahan sebanyak 340 kg.
Tidak diketahui jika prestasi enjin turut sama dipertingkatkan, namun jika ia dibiarkan standard, masa yang diambil untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j pastinya lebih panjang dari enam saat.
Sudah tentu, pakej naik taraf seperti ini bukanlah murah. Harganya dikatakan bermula dari $35,000 atau kira-kira RM165,000 tidak termasuk cukai dan harga kereta itu sendiri. Pemasangan pula mengambil masa selama tiga bulan.