Alpine A290, EV Perancis terbaru yang boleh pecut 0-100 km/j dalam 6.4 saat

205

Alpine mengorak langkah pertama dalam era elektrifikasi dengan kenderaan elektrik pertamanya yang dikenali sebagai A290.

Dibina menggunakan Renault 5 sebagai asas, A290 merupakan EV hatchback berprestasi yang akan bersaing dengan model-model seperti MINI Cooper SE, Cupra Born ZV, Abarth 500e dan Volkswagen ID.3 GTX.



Model ini mungkin berkongsi beberapa aspek teknikal dengan Renault 5 (R5), namun ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan casis yang dipertingkatkan.

Motor elektrik yang dipasang pada gandar depan A290 bukannya diambil dari R5 tetapi dari model yang lebih besar iaitu Megane E-Tech.

Versi GT dan GT Premium mempunyai 180 hp manakala versi yang lebih berkuasa iaitu GT Performance dan GT S mempunya 220 hp dan 300 Nm. Versi ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.4 saat.

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Save, Normal, Sport dan Perso. Mod terakhir itu merupakan mod individu yang membolehkan pemandu menetapkan respon pendikit, stereng dan bunyi ‘enjin’ palsu mengikut citarasa masing-masing.

Selain itu, pemandu juga boleh menekan butang OV (Overtake) berwarna merah pada stereng untuk mendapatkan kuasa maksimum. Butang RCH (Recharge) berwarna biru pula adalah untuk memilih tahap pemulihan tenaga.

Untuk bateri, A290 dilengkapi dengan bateri 52 kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 378 km. Ia boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 30 minit menggunakan pengecas pantas 100 kW.

Jika dibandingkan dengan R5, EV keluaran Alpine ini sedikit lebih panjang dan rendah, dengan ukuran panjang 3,990 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,520 mm dan wheelbase 2,530 mm.

Bukan itu sahaja, ia juga lebih lebar dengan pertambahan sebanyak 60 mm pada ukuran track iaitu jarak antara titik tengah tayar kiri dan kanan. Beratnya pula adalah 1,479 kg.

A290 dilengkapi dengan sistem suspensi jenis multi-link pada bahagian belakang, sesuatu yang boleh dikatakan agak jarang ditemui dalam segmennya. 

Untuk memberikan pengendalian yang lebih mantap, Alpine meletakkan bar anti-oleng pada bahagian gandar depan dan belakang.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Michelin  5 untuk menawarkan tiga jenis tayar iaitu Pilot Sport EV untuk musim panas, Pilot Sport S5 untuk jalan kering dan basah, serta Pilot Alpin 5 untuk musim sejuk.

Kuasa membrek dibekalkan oleh Brembo yang merangkumi angkup empat piston dari kereta sport Alpine iaitu A110. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu biru atau merah. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here