Nampaknya pengalaman pemilikan kenderaan elektrik tidaklah begitu indah seperti yang disangka.
Dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh McKinsey & Co., sebanyak 46 peratus daripada pemilik EV di Amerika Syarikat berkemungkinan besar akan memilih kereta enjin pembakaran dalaman untuk pembelian seterusnya.
Kaji selidik dwitahunan itu disertai oleh lebih 30,000 peserta dari 15 lebih negara, mewakili lebih daripada 80 peratus volum jualan global. Ia dikatakan mempunyai kira-kira 200 soalan.
Menurut laporan Automotive News, hasil kajian menunjukkan 29 peratus daripada pemilik EV dari seluruh dunia cenderung untuk kembali ke kereta ICE.
Faktor utama adalah keadaan infrastruktur pengecasan awam, diikuti dengan kos pemilikan yang tinggi serta keperluan untuk kenderaan yang lebih sesuai untuk perjalanan jauh.
Di AS, hampir separuh pemilik EV bersedia untuk beralih kembali ke ICE kerana ketidakpuasan hati terhadap pelancaran program Infrastruktur Kenderaan Elektrik Nasional yang lambat.
Malah, hanya 9 peratus peserta kaji selidik ini berpuas hati dengan pengembangan rangkaian pengecasan awam dalam rantau masing-masing, menunjukkan yang ia adalah satu isu global.
Dr. Philipp Kampshoff, ketua Pusat Mobiliti Masa Depan McKinsey, percaya bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk kerana pembeli EV generasi akan datang akan lebih bergantung kepada pengecasan awam.
Selain itu, kaji selidik itu turut menunjukkan 21 peratus peserta tidak mahu membeli EV. Jangkaan jarak gerak minimum pula meningkat dari 435 km pada 2022 kepada 469 km pada 2024.
Walaupun terdapat kebimbangan, 38 peratus daripada pemilik kereta bukan EV akan mempertimbangkan PHEV atau EV untuk pembelian seterusnya, naik 1 peratus berbanding dua tahun sebelumnya.