Volvo S60 telah pun berada di dalam barisan produksi sejak dari tahun 2000 lagi bagi menggantikan Volvo S70 (tiada kaitan dengan Proton S70).
Dalam tempoh 24 tahun sehingga kini, Volvo S60 sudah pun masuk generasi ketiga sebagai satu alternatif yang lebih minimalis kepada pesaing dari Jerman seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class.
Sayang sekali, hayat Volvo S60 juga kian menghampiri penghujungnya di mana pengeluar Sweden itu membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran sedan tersebut di Amerika Syarikat pada hujung bulan ini.
Wakil jurucakap Volvo memberitahu laman Motor1, “selepas lima tahun, Volvo Cars akan menghentikan pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Carolina pada akhir Jun 2024 untuk pasaran Amerika dan pasaran lain untuk memberikan fokus kepada model serba baharu EX90.
Di pasaran Amerika Syarikat, Volvo S60 bukanlah sebuah model yang paling laris terjual.
Dalam tahun yang paling berjaya, Volvo tidak pernah menjual melebihi 20,000 unit, dengan purata angka jualan sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Sebagai perbandingan, kedua-dua BMW dan Mercedes-Benz menjual sekitar 33,000 unit bagi model 3 Series dan C-Class pada tahun lepas.
Dengan berakhirnya riwayat Volvo S60, Volvo dapat memberikan tumpuan penuh kepada model yang lebih menguntungkan, iaitu SUV elektrik Volvo EX90.