AP Terbuka: syarikat Bumiputera boleh mohon mulai 1 Julai

426

Mulai 1 Julai ini, mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk syarikat yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif boleh membuat permohonan untuk menjadi syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu adalah selaras dengan usahanya untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

Tambah MITI, syarikat Bumiputera yang berminat perlu memenuhi syarat utama iaitu berstatus Sendirian Berhad, pemilikan 100 peratus Bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.



Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif.

Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata kementerian itu.

Menerusi pembukaan permohonan ini, kerajaan akan terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif.

Justeru, MITI mempelawa syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan. Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796.

Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan saja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar itu adalah antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here