Jualan kenderaan bagi Mei 2024 meningkat 18 peratus kepada 68,665 unit

190

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan data jualan kenderaan bagi Mei 2024, yang menyaksikan sebanyak 68,665 unit kenderaan telah dijual. Angka itu mewakili peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 57,991 unit yang direkodkan pada April 2024.

Mengikut perbandingan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat sembilan peratus berbanding 63,158 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.

Menurut MAA, prestasi jualan Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama dan prestasi mantap oleh pengeluar tempatan.



 

TIV dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi kepada 328,901 unit berbanding 303,575 tempoh sama 2023,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, iaitu 11 peratus lebih tinggi berbanding 56,448 unit pada Mei 2023.

Jualan kenderaan komersial bagaimanapun merosot 14 peratus dari 6,710 unit pada Mei 2023 kepada 5,803 unit pada Mei 2024.

Dari segi pengeluaran kenderaan, perangkaan terkini MAA itu menunjukkan 74,174 unit kenderaan dikeluarkan pada Mei 2024, meningkat 14 peratus berbanding 64,930 unit pada bulan sama tahun lalu.

Kilang Proton di Tanjung Malim. Foto: NST

Pada bulan itu, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 70,132 unit, 16 peratus lebih tinggi berbanding 60,391 unit pada bulan sama tahun lalu.

Sementara itu, pengeluaran kenderaan komersial pula merosot 11 peratus kepada 4,042 unit pada Mei 2024 berbanding 4,539 unit pada bulan sama 2023.

Pengeluaran kenderaan dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah sebanyak 341,500 unit, meningkat 12 peratus berbanding 304,484 unit dalam tempoh lima bulan 2023.

Mengenai tinjauan bagi Jun 2024, MAA berkata, jualan pada Jun tahun ini dijangka kekal pada paras yang dicatatkan pada Mei 2024.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here