BMW M2, yang juga dikenali dengan jolokan ‘Baby M’, telah dikemas kini untuk model tahun 2025.
Walaupun reka bentuknya tidak diberikan sebarang perubahan yang signifikan, kereta sport dua pintu itu kini tampil dengan kuasa yang lebih tinggi.
Enjin B58 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar itu kini menghasilkan 480 PS pada 6,250 rpm, 20 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Untuk versi manual enam kelajuan, jumlah tork kekal pada 550 Nm namun pada versi automatik lapan kelajuan, daya kilas yang dijana enjin tersebut meningkat kepada 600 Nm.
Dengan peningkatan output ini, masa pecutan 0-100 km/j bagi kedua-dua versi berjaya dipendekkan sebanyak 0.1 saat iaitu 4.0 saat bagi automatik dan 4.2 saat bagi manual.
Pecutan 0-200 km/j pula dilakukan dalam 12.9 saat (13.7 saat untuk versi manual), manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Bagaimanapun, dengan M Driver’s Package, ia boleh ditingkatkan kepada 285 km/j.
Seperti yang dikatakan, reka bentuk luaran M2 secara amnya tidak berubah namun untuk model baharu ini, pilihan warna diperluaskan kepada 19 iaitu tiga warna solid, lima warna metalik dan enam warna BMW Individual.
Antara warna baharu yang ditawarkan termasuk warna solid Sao Paulo Yellow, Fire Red Metallic, Portimao Blue Metallic dan Skyscraper Grey Metallic.
Jentera ini didatangkan standard dengan rim aloi M berukuran 19 inci dalam warna Jet Black. Sebagai alternatif, pelanggan kini boleh mendapatkan rim yang sama dengan kemasan perak.
Untuk penampilan yang lebih agresif, lencana pada gril dan tailgate, serta muncung ekzos kini dicat dalam warna hitam.
Ruang dalaman juga tidak banyak berubah namun model tahun 2025 ini boleh dibezakan dengan mudah menerusi stereng flat-bottom M baharu dan sistem infotainmen terkini yang dikuasakan BMW Operating System 8.5.
BMW menawarkan beberapa opsyen termasuk balutan Alcantara untuk stereng dan upholsteri merah/hitam untuk tempat duduk. Bukan itu sahaja, kerusi bucket M Carbon kini boleh dipesan secara berasingan.