Mercedes-Benz 190E Evo II restomod boleh jadi milik anda pada harga RM3.6 juta

365

Mana-mana peminat Mercedes-Benz pastinya mengenali 190E 2.5-16 Evo II, kereta sedan sport 90-an yang dibangunkan dan dijual dalam pasaran bagi memenuhi peraturan homologasi perlumbaan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM).

Bagi yang merindui jentera ikonik itu, mereka kini berpeluang untuk mendapatkan Evo, versi restomod yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Jerman iaitu HWA.



Sekilas pandang, Evo yang ‘dilahirkan’ semula ini memang nampak tidak ubah seperti yang asal kerana ia dibina menggunakan badan 190E. Bagaimanapun, hampir keseluruhan panel badannya diperbuat daripada gentian karbon.

Versi asal dikuasakan oleh enjin 2.5 liter empat silinder yang ditala oleh Cosworth, namun untuk Evo, HWA memilih untuk menggunakan enjin twin turbo 3.0 liter V6 dari Mercedes-Benz.

Menurut HWA, enjin V6 berkenaan dipilih kerana ia ringan dan kompak. Ia menghasilkan 444 hp dan 549 Nm dalam spesifikasi standard atau 493 hp dan 549 Nm dengan pakej Affalterbach yang ditawarkan sebagai opsyen.

Dengan transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda belakang, kereta ini boleh mencapai kelajuan maksimum 270 km/j. Jika ini tidak cukup laju, pakej tersebut boleh meningkatkan kelajuan maksimum menjadi 298 km/j.

Sistem suspensi merangkumi topang double wishbone pada gandar hadapan dan belakang, serta peredam boleh laras KW. Peredam boleh laras elektronik juga disediakan tetapi hanya bersama pakej Affalterbach.

Apa yang menarik, komponen-komponen seperti motor penghidup, alternator, pam stereng kuasa dan pemampat pendingin hawa diletakkan pada bahagian belakang enjin untuk mendapatkan nisbah pengagihan berat 50:50.

Untuk sistem brek, Evo dilengkapi dengan cakera berukuran 380 mm dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 360 mm dengan angkup empat piston di belakang. Pelanggan boleh mendapatkan cakera karbon seramik sebagai alternatif.

Gambar ruang dalaman tidak didedahkan namun menurut HWA, Evo mempunyai kluster instrumen digital dan tempat duduk Recaro.

Mereka yang berminat perlu cepat kerana pengeluaran Evo akan dihadkan kepada 100 unit sahaja, menjadikan ia jauh lebih rare berbanding Evo II yang asal. Harga dikatakan bermula dari 714,000 euro (RM3.6 juta) tidak termasuk cukai.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here