Rezvani Arsenal adalah Cadillac Escalade versi kalis peluru

103

Cadillac Escalade adalah SUV mewah yang cukup sinonim dengan bintang rap namun di tangan Rezvani, ia bertukar menjadi kenderaan yang bukan sahaja kelihatan lebih lasak tetapi juga kalis peluru.

Bagaimanapun, tidak seperti Vengeance yang dibangunkan untuk tujuan ketenteraan, Arsenal disasarkan untuk orang awam yang inginkan perlindungan daripada serangan senjata.



Itulah sebabnya rekaan Arsenal kelihatan lebih elegan dan tidak seagresif Vengeance. Namun ini tidak bermakna ia patut dipandang rendah.

Menurut Rezvani, Arsenal boleh dipesan dengan kaca kalis peluru dan perisai komposit ringan dengan penarafan B6 yang berupaya melindungi penumpang daripada peluru senapang AR-15 dan AK-47, serta peluru penebuk perisai.

Perisai komposit itu bukan sahaja sama kuat malah 1/3 lebih ringan jika dibandingkan dengan perisai keluli, membolehkan Rezvani menjimatkan berat sebanyak 453 kg.

Untuk pengetahuan, ini merupakan kali pertama kenderaan awam berperisai dipasang perisai komposit bertaraf B6. Sebelum ini ia dihadkan kepada B4 sahaja.

Jika ini masih tidak cukup meyakinkan, pelanggan boleh mendapatkan Military Package yang merangkumi pelindung letupan pada bahagian bawah kenderaan, skrin asap, tayar run flat gred tentera, suspensi lebih kukuh, pelindung elektromagnet, night vision dan bermacam lagi kelengkapan.

Ruang kabinnya masih kelihatan seperti Escalade, bermakna ciri-ciri keselesaan seperti upholsteri kulit, sistem audio dengan 19 pembesar suara, head-up display dan paparan OLED dikekalkan. Seperti Escalade, Arsenal boleh didapati dengan tujuh atau lapan tempat duduk.

Untuk enjin pula, jentera ini didatangkan standard dengan enjin supercharged 6.2 liter V8 dengan 700 hp dan transmisi automatik 10 kelajuan. Enjin turbodiesel 3.0 liter enam silinder juga ditawarkan tanpa sebarang bayaran tambahan.

Harga untuk kenderaan seperti Arsenal sudah tentulah tidak murah iaitu dari $225,000 (RM1.06 juta). Pengeluarannya juga terhad iaitu 100 unit sahaja akan ditawarkan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here