Siapa sangka, dengan bentuk badan yang lebih kecil daripada Mazda Miata, namun ia mempunyai kuasa yang mampu memalukan jentera yang jauh lebih besar dan bertenaga.
Dalam satu cubaan yang dibuat di litar Hockenheim Jerman, jentera McMurtry Speirling itu berjaya melengkapkan litar Grand Prix dalam tempoh masa 1 minit 24.4 saat, atau 14.1 saat lebih pantas berbanding catatan masa Mercedes-AMG One.
Bukan sahaja AMG One, Speirling ini juga turut berjaya memadamkan rekod yang dicatatkan oleh jentera lumba DTM (Deusche Tourenwagen Masters) dengan kelebihan masa 3.9 saat.
Dengan menggunakan binaan badan monocoque gentian karbon, Speirling ini mempunyai dimensi sepanjang 3.45 meter, lebar 1.58 meter, tinggi 1.02 meter di mana ia boleh memuatkan pemandu berketinggian sehingga dua meter dan berat 150 kg.
Berat keseluruhan jentera ini adalah kurang daripada 1,000 kg, ditambah pula dengan motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 1,000 hp yang memacu roda belakang.
Namun menurut McMurtry, jentera ini sekadar menggunakan 75 peratus kuasa dan daya mendap memandangkan ia masih berstatus kenderaan prototaip.
Pek bateri berkapasiti 60 kWh itu boleh dicas penuh dalam masa kurang 20 minit, membolehkan ia mengelilingi litar Silverstone sebanyak 10 kali untuk sekali pengecasan penuh.