Masihkah anda ingat pada tahun 2017, Mitsubishi menghidupkan semula nama Eclipse namun ramai peminat jenama itu kecewa kerana nama tersebut diberikan kepada crossover dan bukannya kereta sport dua pintu seperti yang sepatutnya.
Kini, sejarah pahit mungkin berulang kerana syarikat itu dilaporkan telah memfailkan tanda dagang untuk dua nama ikonik iaitu Montero dan Lancer Sportback di Amerika Syarikat.
Kali terakhir Montero (juga dikenali sebagai Pajero) berada dalam pasaran AS adalah pada 2006 tetapi Mitsubishi baru-baru ini telah memfailkan tanda dagang untuk nama itu dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagang AS (USPTO).
Pemfailan tersebut menyatakan “kenderaan” dan pelbagai kegunaan lain, jadi terdapat kemungkinan yang nama Montero akan digunakan pada model-model Mitsubishi yang akan datang.
Selain itu, Mitsubishi turut memfailkan tanda dagang untuk “Lancer Sportback”. Laporan mengatakan yang pada mulanya pemfailan itu telah ditolak oleh USPTO, tetapi ia kini dalam proses rayuan.
Lancer Sportback merupakan hatchback lima pintu berasaskan Lancer sedan yang diperkenalkan sekitar 2010. Walau bagaimanapun, ada kemungkinan yang Lancer Sportback baharu akan tampil dalam bentuk hatchback elektrik.
Ini kerana Mitsubishi sedang bekerjasama rapat dengan Nissan untuk membangunkan model elektrik dan hibrid baharu untuk pasaran AS. Jadi, desas-desus mengatakan yang Lancer Sportback generasi baharu adalah Nissan Leaf yang di-rebadge Mitsubishi.
Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat.