Audi RS3 2025 rampas takhta kereta kompak terpantas Nurburgring

172

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Audi RS3 facelift telah pun menunjukkan kehebatannya dengan mencatat masa 7 minit 33.123 saat di Nurburgring, sekali gus merampas takhta kereta kompak terpantas di litar itu daripada BMW M2.

Hot hatch tersebut dikemudi oleh pemandu Audi Sport, Frank Stippler, yang berjaya mengelilingi litar sepanjang 20.832 km itu lebih tujuh saat lebih cepat berbanding RS3 pra-facelift (7 minit 40.748 saat) dan lebih lima saat di hadapan M2 Coupe (7 minit 38.706 saat).



Menurut Audi, RS3 facelift dikuasakan oleh enjin turbo 2.5 liter lima silinder yang sama seperti sebelum ini, dengan jumlah kuasa yang tidak berubah iaitu 400 PS dan 500 Nm untuk versi pasaran Eropah.

Bagaimanapun, untuk pasaran Amerika Syarikat, kuasa yang dihasilkan oleh enjin TFSI itu sedikit lebih tinggi iaitu 407 PS.

Oleh kerana tiada sebarang peningkatan dari segi kuasa, jurutera Audi menumpukan usaha mereka untuk menambahbaik casis, terutamanya menerusi ciri pengagihan tork pada gandar belakang, kawalan penstabil elektronik dan pemvektoran tork brek.

Bukan itu sahaja, unit yang digunakan untuk memecahkan rekod itu juga dilengkapi dengan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R, cakera brek seramik berukuran 19 inci dan sistem suspensi RS dengan kawalan peredam adaptif.

Menurut Stippler, penambahbaikan tersebut membolehkan RS3 diposisikan dengan lebih tepat sebelum memasuki selekoh. Ia juga boleh keluar dari selekoh dengan lebih cepat, sekaligus memberikannya lebih momentum untuk memecut di laluan lurus.

Dari segi reka bentuk, pelekat penyamaran yang digunakan tidak dapat menyembunyikan perubahan yang terdapat pada model facelift itu seperti grafik lampu LED baharu, serta rekaan bampar yang lebih agresif dengan lubang intake dan diffuser yang lebih besar.

Dengan catatan masa terbaru ini, BMW sudah tentunya tidak akan berdiam diri sahaja memandangkan mereka mempunyai M2 baharu yang lebih berkuasa berbanding sebelum ini. Persoalannya, bila kita boleh lihat coupe itu beraksi di Litar Neraka Hijau?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here