Teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah mula menembusi segmen automotif menerusi perisian sistem infotainmen yang mula digunakan oleh sesetengah jenama seperti Volkswagen.
Bagaimanapun, seperti yang kita tahu, AI mempunyai potensi besar untuk berkembang secara lebih meluas.
Sebagai contoh, sebuah pengedar Cadillac di Las Vegas, Amerika Syarikat menjadi pengedar pertama di bandar itu yang menggunakan mesin pemeriksaan kenderaan automatik berasaskan AI.
Direka oleh UVEye, mesin tersebut boleh diibaratkan seperti mesin pengimbas MRI untuk kenderaan.
Prosesnya mudah dan mengambil masa kurang seminit. Pelanggan hanya perlu memandu kereta mereka melalui mesin tersebut dan ia akan mengambil gambar dari semua sudut termasuk dari bawah.
Imej yang diambil kemudiannya akan diproses menggunakan perisian AI yang berupaya mengesan sebarang kecatatan pada bahagian luaran, tayar dan komponen mekanikal.
Kira-kira 30 hingga 45 saat kemudian, pelanggan akan mendapat laporan penuh mengenai keadaan kereta mereka. Dari sini, pihak pengedar boleh melakukan kerja baik pulih bagi memastikan kenderaan pelanggan berada dalam keadaan optimum dan selamat untuk dipandu.
Menurut Pengurus Besar Findlay Cadillac, Emmanual Epino, mesin pengimbas berasaskan AI itu agak tepat dan boleh mencari kerosakan yang kadangkala gagal dikesan oleh juruteknik mereka.
Sementara itu, Daniel Frandsen dari UVEye berkata mesin pemeriksaan kenderaan automatik itu boleh mengesan kecatatan seperti kebocoran minyak dengan lebih cepat berbanding cara tradisional.
Adakah mesin itu akan menjejaskan peluang pekerjaan manusia?
Bagi Findlay Cadillac, penggunaan mesin AI itu tidak menyebabkan sebarang kes kehilangan pekerjaan dalam bahagian servis. Malah, Epino mendakwa jurutekniknya semakin sibuk dengan lebih banyak kerja pembaikan yang perlu dilakukan.
Tambah beliau lagi, satu-satunya pihak yang mungkin terjejas oleh mesin tersebut adalah pelanggan kerana ia boleh mengesan lebih banyak kerosakan, sekali gus menyebabkan mereka perlu menanggung kos pembaikan yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, Epino berkata lebih baik jika kerosakan dapat dibaiki lebih awal sebelum berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini di atas jalan raya.