Hyundai Ioniq 5 N pecah rekod EV di Pikes Peak

31

Misi Hyundai untuk memecah rekod di perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb tahun ini tercapai apabila syarikat itu berjaya mencatat masa terpantas dalam kelas Electric Modified dan Production SUV/Crossover.

Menurut Hyundai, mereka berjaya menamatkan cabaran pendakian sepanjang 20 km itu dengan dua unit Ioniq 5 N TA (Time Attack) Spec dan sebuah Ioniq 5 N versi produksi. 



Ioniq 5 N TA Spec yang dipandu oleh pemandu WRC untuk Hyundai Motorsport, Dani Sordo mencatat masa 9 minit 30.852 saat sekaligus meletakkannya di tangga teratas kelas Electric Modified.

Unit TA Spec yang kedua yang dipandu oleh Randy Probst menghabiskan perlumbaan 25 saat di belakang Sordo dengan catatan masa 9 minit 55.551 saat.

Sementara itu, Ioniq 5 N versi produksi yang dikemudi oleh pemandu rookie Ron Zaras pula merangkul gelaran SUV/Crossover elektrik terpantas di Pikes Peak apabila merekodkan masa 10 minit 49.267 saat.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, terdapat sebuah lagi Ioniq 5 N standard yang sepatutnya bertanding namun pemandunya iaitu Paul Dallenbach terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan semasa sesi latihan.

Walau bagaimanapun, Dallenbach masih mampu membuat catatan masa rasmi 10 minit 33.86 saat semasa sesi ujian pra-perlumbaan.

Catatan masa itu sebenarnya lebih pantas berbanding rekod keseluruhan bagi SUV produksi iaitu 10 minit 32.064 saat yang dilakukan oleh Lamborghini Urus Performante pada 2022.

Berikutan pencapaian membanggakan ini, Hyundai mengesahkan yang ia akan memperkenalkan lebih banyak “model spesifikasi khas” seperti Ioniq 5 N eN1 Cup Car dan Ioniq 5 N TA Spec meluaskan lagi pengalamannya dalam sukan permotoran EV.

Till Wartenberg, Naib Presiden dan Ketua Jenama N dan Sukan Permotoran Hyundai berkata, “Pada masa depan, kami akan terus memanfaatkan aktiviti-aktiviti sukan permotoran seperti Pikes Peak untuk menunjukkan prestasi hebat kenderaan produksi kami dan terus membangunkan teknologi yang bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan tetapi melangkaui jangkaan mereka.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here