Madusan EV, sedan elektrik pertama ‘buatan’ Korea Utara, jarak gerak 720 km

33

Tidak seperti negara jirannya Korea Selatan, Korea Utara bukanlah sebuah negara yang memiliki industri automotif dengan reputasi yang membanggakan.

Negara itu sebelum ini pernah terpalit dengan isu penipuan pembelian 1,000 unit Volvo pada era 70-an dan sehingga kini masih lagi memegang status berhutang dengan pengeluar Sweden.

Selari dengan perkembangan semasa, Korea Utara baru-baru ini memperlihatkan sebuah sedan empat pintu berkuasa elektrik, dinamakan sebagai Madusan EV.



Sedan elektrik tersebut dipamerkan buat kali pertama di acara pameran Madusan Electric Vehicle Exhibiton Center di Hwasong Street, Pyongyang, dan didakwa mampu bergerak sejauh 720 km untuk sekali cas penuh.

 

Untuk makluman, Madusan EV ini sebenarnya merupakan sebuah sedan elektrik buatan China, iaitu BYD Han yang telah wujud di pasaran sejak tahun 2020 lagi.

Di negara asal, BYD Han boleh dilengkapi dengan motor elektrik tunggal berkuasa sehingga 241 hp/350 Nm, serta pek bateri Blade 85.44 kWh yang membolehkan ia bergerak sejauh 715 km mengikut data CLTC.

Terdapat juga versi pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa keseluruhan 510 hp/700 Nm yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 610 km menggunakan pek bateri berkapasiti serupa.

 

Jadi, tidak menghairankan apabila segala logo-logo yang terpampang pada sedan dalam video promosi itu sengaja dikaburkan bagi mengelakkan identiti asal sedan elektrik tersebut dikesan oleh rakyat Kim Jong Un.

Melihatkan kepada status BYD Han sebagai sebuah kereta sedan eksekutif (segmen E), besar kemungkinan Madusan EV hanya akan ditawarkan kepada golongan pemimpin tertinggi negara itu, dan bukannya untuk golongan kebanyakan.

Ini kerana rata-rata rakyat biasa di Korea Utara memiliki punca pendapatan yang tidak stabil, dan hanya separuh sahaja populasi di sana yang memiliki akses kepada punca kuasa elektrik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here