Xiaomi sedang bangunkan SUV elektrik, kembar Ferrari Purosangue?

30

Selepas menikmati kejayaan menerusi pengenalan model sedan elektrik SU7, Xiaomi terus mengorak langkah di dalam industri automotif dengan membangunkan model seterusnya, sebuah SUV berkuasa elektrik.

Kelibat model prototaip yang dikenali sebagai MX11 itu telah pun dikesan di atas jalan raya China.

 



Berdasarkan imej yang dikongsikan menerusi laman media sosial, Xiaomi MX11 dikatakan mempunyai bentuk dan saiz yang menghampiri dimensi Ferrari Purosangue, membawakan gabungan sebuah SUV dengan titik graviti yang rendah.

Berbanding SU7, rekaan hidung hadapan MX11 ini telah ditinggikan sedikit, namun rekaan keseluruhan bahagian tersebut dijangka menyerupai model sedan elektrik tersebut.

 

Terdapat juga perumah penderia LIDAR yang duduk bertenggek di atas cermin penghadang angin hadapan.

Sementara bahagian belakang pula walaupun ia mempunyai rekaan tailgate yang lebih tinggi, jelas kelihatan pengaruh yang dibawakan daripada sedan SU7, seperti contoh rekaan unit lampu LED serta bar lampu yang melintang penuh.

 

Perincian teknikal model MX11 ini masih lagi samar-samar, namun dalam satu laporan yang muncul pada April lalu mencadangkan ia menggunakan platform yang berbeza berbanding SU7, dan mampu menyokong opsyen rangkaian kuasa penambah jarak (range extender).

Outlet media China menjangkakan SUV baharu Xiaomi ini akan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2025.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here