Hacker berjaya curi Mercedes-Maybach GLS dan Rolls-Royce Cullinan

146

Seorang penggodam di Florida, Amerika Syarikat menyalahgunakan kepakarannya untuk mencuri bukan satu tetapi dua buah kereta mewah.

Menurut laporan, suspek telah menggodam sistem syarikat penghantaran kereta dan mengubah alamat penghantaran supaya kereta tersebut dihantar kepadanya dan bukannya kepada pemilik sebenar.

Dalam kejadian pertama, penggodam tersebut berjaya mencuri sebuah Mercedes-Maybach GLS 600 bernilai kira-kira $200,000 (RM941,070).



Pihak berkuasa percaya suspek memasuki sistem syarikat Dealers Choice Auto Transport di mana dia memperoleh maklumat seperti jadual penghantaran, maklumat hubungan pemandu dan pelbagai lagi.

Bercakap kepada portal berita WSVN, CEO Dealers Choice Auto Transport, Steven Yariv berkata hacker tersebut menghubungi pemandu dan menyamar sebagai pihak penerima.

“Dia memberikan semua maklumat yang betul dan memberitahu pemandu itu ke mana kereta itu sepatutnya dihantar,” tambah Yariv.

Dalam kejadian kedua, sebuah Rolls-Royce Cullinan bernilai hampir $400,000 (RM1.9 juta) berjaya dicuri oleh penggodam yang sama selepas suspek menukar alamat penghantaran.

SUV mewah itu sepatutnya dihantar kepada Limited Spec Automotive, sebuah pengedar kenderaan terpakai di Miami, namun suspek telah menghantar pesanan teks kepada pemandu untuk menghantarnya ke sebuah lot parkir.

Tidak cukup dengan itu, suspek dilaporkan turut mengejek mangsanya.

Terima kasih untuk Maybach percuma,” kata suspek itu.

Gambar WPTV News

Bro, kereta dah ada di Dubai atau Eropah, kamu tekalah,” katanya lagi dalam pesanan teks kepada Yariv. Dia turut menghantar sebuah gambar yang menunjukkan penjejak GPS yang telah dikeluarkan dari lantai kenderaan.

Bagaimanapun, polis mungkin mempunyai petunjuk. Ini kerana pemandu yang menyerahkan Maybach sempat mengambil gambar kereta itu berserta suspek. Polis masih menyiasat jika individu di dalam gambar itu adalah penggodam tersebut.  

Sementara itu, Steven Yariv dan bos Limited Spec Automotive, Steven Waisman masing-masing menawarkan ganjaran sebanyak $20,000 (RM94,100) kepada sesiapa yang boleh mendapatkan semula kereta-kereta yang dicuri itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here