Pemandu trak Thailand rancang protes kenaikan harga diesel besar-besaran bulan depan

986

Satu protes secara besar-besaran akan diadakan oleh pemandu lori Thailand pada 3 Julai ini bagi membantah tindakan kerajaan Thailand yang berdiam diri terhadap kenaikan harga diesel.

Menurut Presiden Persekutuan Pengangkutan Darat Thailand, Apichart Prairungruang berkata, tindakan yang diambil ini tiada kaitan dengan keputusan Malaysia untuk mengapungkan harga dieselnya.

“Rasionalisasi subsidi diesel Malaysia tidak memberi kesan kepada kami. Mogok yang dijadualkan di seluruh negara ini adalah disebabkan ketidakpuasan terhadap kerajaan yang terus mengabaikan permintaan kami supaya harga diesel dihadkan kepada 30 baht/liter,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.



Beliau menjelaskan walaupun Malaysia menaikkan sepenuhnya harga diesel, ia masih lebih rendah berbanding di Thailand.

Badan itu berharap dibenarkan untuk menyesuaikan harga pengangkutan bagi mencerminkan kos diesel di negara itu.

Bagaimanapun, Apichart berkata bantahan yang dijadualkan pada 3 Julai itu masih belum disahkan kerana Julai adalah sambutan hari keputeraan Raja dan badan itu tidak mahu melakukan apa-apa yang tidak sesuai semasa negara sedang bersiap sedia untuk perayaan berkenaan.

Beliau menyebut bahawa persekutuan akan bermesyuarat lagi pada 30 Jun untuk memuktamadkan keputusan mereka mengenai perhimpunan itu di mana ini bukanlah kali pertama mereka menganjurkan protes sedemikian.

Berdasarkan laporan media tempatan, Kerajaan Thailand mengehadkan harga runcit diesel pada paras 33 baht seliter (RM4.23/liter).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here