Aston Martin Valiant, supercar V12 manual yang diilhamkan oleh Fernando Alonso

202

Pada Julai tahun lalu, Aston Martin memperkenalkan Valour, model edisi terhad yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-110.

Model itu kini mempunyai versi lebih hardcore yang dikenali sebagai Valiant. Menurut Aston Martin, ia didatangkan dengan spesifikasi yang diinspirasikan oleh pemandu pasukan Formula One Aston Martin iaitu Fernando Alonso.

Dari luar, Valiant boleh dibezakan dengan Valour menerusi kit badan lebih agresif yang direka untuk meningkatkan prestasi aerodinamiknya. Keseluruhan badan kereta ini diperbuat daripada gentian karbon.



Rim magnesiumnya juga ditutup dengan cakera aero yang direka berdasarkan rim kereta lumba RHAM/1 ‘Muncher’ Le Mans.

Di sebalik semua ini, Valiant menampilkan casis yang ditambah baik untuk mengurangkan berat dan mencapai prestasi lebih mantap di litar lumba.

Sebagai contoh, subframe belakang yang dihasilkan menerusi cetakan 3D mengurangkan berat sebanyak 3 kg, manakala tiub tork magnesium mengurangkan berat pada bahagian tengah kereta sebanyak 8.6 kg.

Rim magnesium 21 inci bukan sahaja meningkatkan tindak balas stereng, malah mengurangkan berat keseluruhan kereta sebanyak 14 kg, ditambah dengan 11.5 kg lagi yang dapat dijimatkan menerusi penggunaan bateri litium ion.

Tidak cukup dengan itu, suspensi asal Valour juga digantikan dengan peredam Multimatic Adaptive Spool Valve (ASV). Sistem brek pula merangkumi cakera karbon seramik berukuran 410 mm di depan dan 360 mm di belakang.

Ruang dalaman Valiant menampilkan sepasang kerusi Recaro Podium berserta abah-abah empat poin yang disambungkan terus pada half-cage. 

Seperti yang boleh dilihat, gentian karbon diaplikasikan secara meluas pada konsol tengah dan trim pintu tetapi apa yang paling menarik di sini adalah linkage gear yang sengaja dibiarkan terdedah.

Valiant dikuasakan oleh enjin twin-turbo 5.2 liter V12 yang sama seperti Valour namun kuasa telah dipertingkatkan dari 715 PS kepada 745 PS, sementara tork kekal pada 753 Nm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan, iaitu satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan.

Prestasi jentera ini tidak didedahkan namun jika Alonso berpuas hati, ini bermakna ia sudah cukup bagus.

Hanya 38 unit Valiant akan dihasilkan dan ketika artikel ini ditulis, kesemuanya sudah pun ditempah. Harga dikatakan bermula dari 2 juta pound sterling atau sekitar RM11.9 juta mengikut tukaran semasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here