Volkswagen Golf R Mk8.5 adalah model Golf paling berkuasa setakat ini

159

Di Malaysia, Volkswagen Golf R versi Mk8 baru sahaja mula dijual namun di peringkat antarabangsa, versi facelift iaitu Mk8.5 sudah pun diperkenalkan secara rasmi.

Apa yang berbeza kali ini? 

Pertama sekali, ini adalah Golf yang paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini. Enjin 2.0 liter turbo empat silindernya menjana 333 PS, mewakili peningkatan sebanyak 13 PS berbanding model pra-facelift. Tork bagaimanapun tidak berubah iaitu 420 Nm.



Dengan transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion, hot hatch itu boleh melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat. Ia boleh memecut sehingga 250 km/j atau 270 km/j jika pelanggan memilih pakej R-Performance.

Rekaan luarannya diberikan sentuhan segar lampu LED Plus baharu, logo VW yang bercahaya, liang udara pada bampar dan rim ‘Warmenau’ berukuran 19 inci yang ditawarkan sebagai opsyen.

Menurut Volkswagen, berat rim itu hanya 8 kg setiap satu atau 20 peratus lebih ringan berbanding rim aloi biasa. Rekaannya menampilkan nisbah bukaan 71 peratus untuk membolehkan brek disejukkan dengan lebih efisien.

Ruang dalaman pula dikemaskini menerusi skrin sentuh berukuran 12.9 inci dan kluster instrumen digital 10.2 inci dengan sistem Digital Cockpit Pro. 

Selain itu, terdapat sistem arahan suara IDA yang menggunakan perisian ChatGPT untuk menjawab soalan. Panel sentuh bercahaya untuk sistem pendingin hawa dan kawalan volum pula direka semula.

Untuk suasana lebih sporty, Volkswagen menawarkan upholsteri kulit nappa berwarna hitam dengan elemen karbon, trim biru dan logo ‘R’, serta kemasan gentian karbon.

Di samping kelajuan maksimum lebih tinggi, pakej R-Performance yang disebutkan tadi juga memberikan dua mod tambahan iaitu Drift dan Special. Mod Special ditala khas mengikut keadaan permukaan litar Nurburgring.

Turut disertakan bersama pakej berkenaan adalah spoiler lebih besar, lap timer GPS dan G-meter.

Apa yang menarik, peminat Golf R di Eropah boleh mendapatkan Black Edition yang tampil standard dengan pakej R-Performance dan kemasan gelap pada lampu matriks IQ.Light LED serta logo VW dan R.

Bukan itu sahaja, angkup brek, rim Estoril 19 inci dan muncung ekzos pada model eksklusif ini dicat dalam warna hitam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here