Tidak banyak tempat atas muka bumi ini yang menawarkan jaringan fasiliti pengisian bahan api hidrogen yang meluas.
Di Amerika Syarikat, anda boleh menikmati pemanduan sifar emisi berkuasa hidrogen di California menerusi program pajakan untuk model Honda CR-V e:FCEV yang kini telah pun dibuka kepada umum.
Terdapat tiga opsyen yang boleh dipilih oleh pelanggan yang berminat, iaitu 2-tahun, 3-tahun dan 6-tahun.
Pelan pajakan 2-tahun mengehadkan jarak perbatuan sehingga 96,500 km di mana ia memerlukan pelanggan untuk membelanjakan wang sebanyak $489/bulan (RM2,307) dengan tambahan wang pendahuluan sebanyak $2,989 (RM14,101) dikenakan semasa pendaftaran.
Selain itu, Honda turut menawarkan kredit hidrogen bernilai $25,000 (RM117,944) secara percuma.
Pelan 3-tahun pula lebih murah, di mana pelanggan hanya perlu membayar bulanan serendah $459 (RM2,165), diikuti yuran pendaftaran $2,959 (RM13,960) dan kredit bahan api hidrogen sehingga $15,000 (RM70,766).
Cuma kekurangannya, pelanggan akan dihadkan jarak perbatuan sehingga 57,936 km sepanjang tempoh pajakan.
Pelan pajakan 6-tahun pula menawarkan bayaran bulanan serendah $389 (RM1,835) dan yuran pendaftaran $2,889 (RM13,630) dengan had jarak perbatuan yang lebih jauh (115,873 km) dan kredit hidrogen sebanyak $30,000 (RM141,533).
Program pajakan yang ditawarkan oleh Honda ini turut menyediakan akses 21 hari kepada kenderaan sewa Avis, lengkap dengan bantuan tepi jalan 24/7 dan pelekat khas untuk menggunakan laluan HOV (High Occupancy Vehicle) di California.
Honda CR-V e:FCEV menggunakan modul sel bahan api hidrogen generasi kedua yang dibangunkan bersama GM, terdiri daripada motor elektrik berkuasa 174 hp/310 Nm, dan tangki bahan api 4.3 kg yang membenarkan jarak gerak sejauh 435 km.
Dengan adanya pek bateri berkapasiti 17.7 kWh, CR-V hidrogen ini boleh bergerak tanpa menggunakan bahan api hidrogen sejauh 47 km.