Jalan Batang Kali-Genting dibuka semula hampir dua tahun selepas tragedi

73

Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh pada Disember 2022 telah dibuka semula bermula 1 Julai 2024.

Dalam satu kiriman di Facebook, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan laluan itu dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada jam 3 petang.

Kiriman tersebut turut menyatakan yang kerja turapan di laluan itu telah dijalankan pada 27 hingga 29 Mei lepas.



Pada Disember 2022, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka ditutup selama setahun bagi membolehkan pelaksanaan kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.

April lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata projek pembaikan yang membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu sudah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja yang bakal disiapkan termasuk rel adang dan binaan dinding.

Peristiwa hitam yang berlaku pada awal pagi 16 Disember 2022 di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban.

Ia merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here