Pengeluar-pengeluar kenderaan dari China sedang rancak menghasilkan EV untuk pasaran global namun dengan tarif import tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, mereka perlu mencari pasaran baru dengan segera.
Australia muncul sebagai destinasi yang paling sesuai kerana ia tidak mengenakan sebarang sekatan atau tarif ke atas EV yang diimport dari China seperti yang dilakukan oleh AS dan EU.
Walaupun pasaran EV negara Down Under itu didominasi oleh Tesla, persaingan dilihat semakin hangat dengan pelancaran pelbagai model terbaru dari China.
Sebagai contoh, MG dilaporkan akan melancarkan MG3 PHEV dan Cyberster EV tahun ini berikutan sambutan hangat terhadap ZS.
Sementara itu, BYD juga telah melancarkan tiga model elektriknya iaitu Atto 3, Dolphin dan Seal. Malah jenama itu dilaporkan berjaya mengatasi angka jualan Tesla pada Januari lalu.
Jenama-jenama lain seperti XPeng, Geely, Changan dan Leapmotor juga mempunyai perancangan untuk menembusi pasaran Australia.
EV dari China mampu mendominasi pasaran EV kerana pengeluar dari negara itu mempunyai kawalan ke atas bahan yang digunakan untuk membuat bateri, sekali gus membolehkan mereka menghasilkan EV pada kos lebih rendah.
Bukan itu sahaja, kerajaan China juga menyokong sektor EV secara aktif, menyebabkan penurunan ketara dalam kos pembuatan EV secara domestik di negara itu.
Harga yang mampu milik menjadikan EV dari China sebagai pilihan menarik di pasaran-pasaran di mana kos merupakan faktor penting bagi pengguna.
Bagi melindungi pasaran masing-masing, AS telah menguatkan lagi usahanya untuk menghalang jenama China daripada memasuki pasarannya, manakala EU dilaporkan bakal mengenakan duti tambahan sehingga 38 peratus.
Sementara itu, jurucakap Federal Chamber of Automatic Industries (FCAI) berkata, persaingan dalam pasaran kereta harus disokong.
Bercakap kepada News.com.au, jurucakap itu berkata, “Peningkatan persaingan telah memastikan rakyat Australia mempunyai akses kepada pelbagai jenis kenderaan yang memenuhi pelbagai gaya hidup, keperluan dan bajet mereka.
“Ketersediaan kenderaan keluaran China telah meningkatkan pilihan pengguna, membolehkan rakyat Australia membeli kereta yang paling sesuai dengan keperluan kerja, rekreasi dan keluarga mereka.”
Permintaan untuk EV di Australia masih berkembang, dengan 98,000 unit terjual pada 2023, lebih separuh daripada jumlah EV di negara itu.
Strategi Kenderaan Elektrik Nasional kerajaan Australia juga membantu dengan memberi insentif kepada penggunaan EV, manakala Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Australia telah memberikan komitmen $500 juta untuk mengembangkan infrastruktur pengecasan.