Volkswagen ambil semula kereta syarikat jenama Porsche sebagai langkah berjimat

27

Kereta syarikat merupakan salah satu kelebihan yang sering diberikan kepada mereka yang berpangkat tinggi di dalam sesebuah organisasi.

Malangnya, bagi kira-kira 200 pegawai eksekutif di Kumpulan Volkswagen, kelebihan ini nampaknya telah ditarik semula sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan besar-besaran kumpulan itu.

Menurut sumber dalaman, ada kereta-kereta syarikat yang mahal termasuk Porsche dipulangkan semula dalam keadaan yang amat teruk.



Jurucakap Volkswagen mengesahkan berita itu kepada akhbar Jerman Bild, dengan menyatakan, “Disebabkan pengoptimuman kos … tidak lagi boleh memesan kereta syarikat Porsche.”

Walau bagaimanapun, pengurus dan ahli lembaga pengarah Porsche masih diberikan kelebihan untuk memandu kereta syarikat dari jenama itu memandangkan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Porsche.

Tambah sumber itu lagi, pada awal tahun ini, kakitangan yang terlibat dalam langkah penjimatan itu telah dimaklumkan oleh jabatan sumber manusia yang menyatakan mereka tidak lagi layak untuk mendapatkan kereta syarikat yang mewah.

Difahamkan, sesetengah pengurus Volkswagen tidak gembira dengan keputusan itu dan bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman di mahkamah buruh Braunschweig. 

Bukan itu sahaja, terdapat sebilangan pekerja yang turut mencabar keputusan pembatalan pembayaran gaji yang dijanjikan di mahkamah yang sama.

Tidak termasuk Bugatti dan Bentley, Porsche merupakan jenama kereta paling mewah yang bernaung di bawah Kumpulan Volkswagen.

Eksekutif-eksekutif tersebut mungkin tidak boleh lagi memandu kereta Porsche ‘percuma’ namun mereka dilaporkan masih boleh mendapatkan kereta syarikat jenama Audi yang tidak kurang mewahnya.

Malah, menurut seorang ahli lembaga Volkswagen, pekerja-pekerja yang terjejas itu sebenarnya mampu membeli Porsche dengan gaji mereka sendiri.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here