Lelaki ini jadikan teksinya sebagai perpustakaan bergerak

144

Seorang pemandu teksi di Alexandria, Mesir, Mohammed Azzam, telah menjadikan teksinya sebagai perpustakaan bergerak tiga atau empat hari seminggu untuk menggalakkan orang ramai membaca.

“Saya suka membaca sejak kecil, itu antara sebab mengapa saya memutuskan untuk melancarkan inisiatif perpustakaan teksi bergerak,” kata Azzam, 42 tahun, kepada Xinhua, gembira melihat pejalan kaki berminat dengan bukunya.

Azzam menyediakan buku kepada orang ramai sepanjang tempoh tidak bekerja, membolehkan mereka membaca sehingga tiga jam setiap kali.



Memulakan inisiatif ini tiga tahun lepas, pemandu teksi itu kini menjadi terkenal di Alexandria.

 

Beliau kemudian membuka perpustakaan kecil di jalanan untuk peminat buku, yang beliau juga menjual buku seperti buku teks sekolah dan alat tulis untuk membantu membiayai inisiatif perpustakaan teksinya.

Lelaki pertengahan umur itu menyatakan sebab utama melancarkan inisiatif itu adalah kerana keengganan orang ramai untuk membaca selepas tersebarnya Internet dan rangkaian sosial.

“Orang ramai membuang masa bermain permainan di telefon bimbit atau melayari laman sosial,” kata Azzam, menjelaskan, “Individu mungkin mendapat sedikit manfaat daripada tingkah laku itu, tetapi tiada yang lebih baik daripada memegang dan membaca buku.”

Samia Mohammed, seorang pelajar kolej berusia 22 tahun, berkata dia terserempak dengan teksi-perpustakaan itu secara tidak sengaja dan kemudian kerap mengunjunginya untuk membaca.

“Ia agak pelik bagi saya melihat seorang pemandu teksi mempamerkan buku di atas keretanya untuk pejalan kaki,” kata Mohammed, sambil menambah bahawa dia sangat mengagumi idea itu.

 

“Tanpa ragu-ragu, saya mengambil sebuah buku psikologi yang menarik minat saya,” katanya kepada Xinhua, menambah kebanyakan rakan-rakannya kini menjadi pengunjung tetap perpustakaan unik itu.

“Kami telah mendapatkan nombor telefon Azzam. Kami akan menghubunginya untuk mengetahui bila dan di mana dia akan berada,” katanya sambil tersenyum.

Mahmoud Abdo, seorang pelajar sekolah menengah yang juga mengunjungi perpustakaan bergerak itu, berkata inisiatif sedemikian “pasti akan menarik lebih ramai orang dan menggalakkan mereka membaca”.

“Semakin ramai orang yang jarang membaca pada masa kini…Saya hanya membaca buku teks sekolah saya. Melalui inisiatif ini, saya juga mula minat membaca beberapa buku sastera dan sains,” kata Abdo kepada Xinhua.

 

 

Azzam berkata dia berharap untuk mempromosikan inisiatif itu dengan membuka lebih banyak perpustakaan kecil di Alexandria dan menjemput orang lain untuk menyertainya.

“Saya juga berharap inisiatif serupa akan dilancarkan di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman,” kata Azzam kepada Xinhua.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here