Salah satu kelebihan kereta sport JDM adalah ia sentiasa mempunyai potensi untuk dinaik taraf, tidak kira sama ada dari segi prestasi atau pun penampilan.
Rasanya ramai yang bersetuju jika penulis katakan yang rupa paras Toyota GR Corolla sememangnya sudah cukup menggiurkan namun dengan sedikit ‘sentuhan’ pakar, ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang lebih memikat.
Buktinya, lihat sahaja GR Corolla dengan kit badan Arising-1 yang dihasilkan oleh Varis ini. Ia berjaya menonjolkan sisi agresif hot hatch itu dalam cara yang tidak keterlaluan.
Untuk bahagian depan, pelanggan boleh mendapatkan splitter gentian karbon pada harga $1,695 (RM7,982), dan set sirip berharga $645 (RM3,037) untuk diletakkan pada sudut kiri dan kanan bampar bagi mengurangkan seretan serta meningkatkan downforce.
Penampilan bahagian sisi pula diserlahkan dengan skirting gentian karbon yang berharga $2,295 (RM10,808). Di belakang pula terdapat diffuser gentian karbon ($845 atau RM3,979), pelindung haba ekzos ($335 atau RM1,577) dan pelindung muncung ekzos ($695 atau RM3,273).
Sebagai pelengkap pakej, pelanggan juga boleh memesan spoiler gentian karbon dan bonet gentian karbon, masing-masing dijual pada harga $1,895 (RM8,924) dan $2,995 (RM14,105).
Menurut Varis, bonet tersebut mempunyai liang-liang yang diletakkan secara strategik bagi membantu menyejukkan ruang enjin. Ia boleh didapati dengan atau tanpa lapisan jernih (clear coat).
Sudah tentu, setiap modifikasi tidak akan lengkap tanpa talaan pada enjin. Namun sayangnya, Varis hanya menghasilkan kit badan. Ini bermakna enjin turbo 1.6 liter tiga silinder yang tersembunyi di bawah bonet gentian karbon itu masih menghasilkan 300 hp dan 400 Nm.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi manual enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD) GR-Four.