Dilancarkan sejak 40 tahun yang lalu, Toyota Land Cruiser 70 Series masih lagi dijual secara rasmi di beberapa pasaran termasuklah negara Australia.
Berita kurang enak, Toyota dilapor akan menghentikan penjualan model Land Cruiser bernadikan enjin V8 bermula tahun ini, menurut laman Car Expert.
Enjin diesel turbo berkapasiti 4.5 liter itu tidak mampu untuk bertahan lebih lama di pasaran susulan regulasi emisi yang lebih ketat.
Selain itu, permintaan pasaran kini lebih cenderung memilih model automatik, berbanding model berenjin V8 yang ditawarkan secara eksklusif dengan kotak gear manual.
Sehubungan dengan itu, produksi bagi model 70 Series berenjin V8 seperti Wagon empat pintu dan Troop Carrier dua pintu akan ditamatkan pada September 2024, diikuti model trak pikap kabin tunggal dan berkembar GL.
Sementara produksi trak pikap trim GXL pula akan diteruskan sehingga tahun depan yang mana unit terakhir akan dihantar kepada pelanggan pada suku keempat 2025.
Bermula Oktober ini, Toyota Australia akan mula menawarkan 70 Series dengan nadi diesel turbo 2.8 liter berkuasa 201hp dan 450Nm, dipadankan dengan transmisi manual yang telah ditala semula untuk pecutan dan kecekapan bahan api yang lebih baik.
Selain pasaran Australia, model klasik Land Cruiser 70 Series ini masih lagi dijual di pasaran Jepun dan Emiriah Arab Bersatu, dengan kemaskini seperti skrin sentuh yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta tambahan ciri keselamatan seperti suluhan tinggi automatik, dan amaran keluar lorong.