Boeing setuju mengaku bersalah konspirasi penipuan, elak perbicaraan jenayah insiden 737 MAX

132

Boeing bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan konspirasi penipuan jenayah apabila Amerika Syarikat mendapati syarikat itu melanggar perjanjian selepas dua kemalangan maut pesawat 737 Max yang mengorbankan 346 penumpang dan anak kapal.

Jabatan Kehakiman berkata pengeluar pesawat itu bersetuju membayar denda jenayah sebanyak USD243.6 juta.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa dalam insiden lima tahun lalu tersebut mengkritik persetujuan berkenaan sebagai “Sweetheart Deal” yang mana membolehkan Boeing mengelak tanggungjawab penuh atas kemalangan maut tersebut.



ELAK PERBICARAAN JENAYAH

Dengan mengaku bersalah, Boeing akan menghindari perbicaraan jenayah yang mana telah dituntut oleh keluarga mangsa. 

Syarikat itu mengalami krisis rekod keselamatan sejak dua nahas pesawat 737 Max yang hampir sama berlaku pada 2018 dan 2019. Ia menyebabkan pesawat itu digantung secara global selama lebih setahun.

Pada 2021, pendakwa mendakwa Boeing dengan pertuduhan konspirasi menipu pengawalselia dengan dakwaan memperdaya Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengenai sistem kawalan penerbangan MCASnya, yang terlibat dalam kedua-dua nahas.

Ia bersetuju untuk tidak mendakwa Boeing jika syarikat itu membayar penalti dan berjaya menyelesaikan tempoh tiga tahun peningkatan pemantauan dan laporan.

Tetapi pada bulan Januari, sejurus sebelum tempoh itu tamat, panel pintu pesawat Boeing kendalian Alaska Airlines tercabut sejurus selepas berlepas dan memaksa ia mendarat.

Tiada siapa yang cedera semasa kejadian tetapi ia memperhebatkan penelitian berkaitan kemajuan yang dicapai Boeing dalam meningkatkan rekod keselamatan dan kualitinya.

AKAN ADA REKOD JENAYAH

Pada bulan Mei, Jabatan Kehakiman mendapati Boeing melanggar syarat perjanjian, yang membuka jalan kepada kemungkinan pendakwaan.

Keputusan Boeing untuk mengaku bersalah merupakan titik hitam bagi syarikat yang merupakan kontraktor tentera terkemuka bagi kerajaan Amerika yang mana kini mempunyai rekod jenayah.

Boeing juga merupakan salah satu daripada dua pengeluar jet komersial terbesar di dunia. Buat masa ini masih belum jelas bagaimana rekod jenayah akan menjejaskan perniagaan kontrak Boeing.

Kerajaan biasanya menyekat atau menggantung syarikat yang mempunyai rekod daripada mengambil bahagian dalam bidaan, tetapi boleh diberikan pengecualian.

‘SWEETHEART DEAL’ ELAK BOEING BERTANGGUNGJAWAB

Peguam, Paul Cassell mewakili mangsa yang terbunuh dalam penerbangan 2018 dan 2019, berkata “Sweetheart Deal” menguntungkan satu pihak.

“Melalui peguam licik antara Boeing dan Jabatan Kehakiman, kesan kemalangan maut jenayah Boeing disembunyikan,” katanya. 

Beliau menyeru hakim yang menilai perjanjian tersebut untuk menolak pengakuan tidak wajar berkenaan dan menetapkan untuk perbicaraan awam agar semua fakta yang menyelubungi kes itu akan disiarkan dalam forum yang adil dan terbuka di depan juri.

Dalam surat kepada kerajaan pada bulan Jun, Cassell menggesa Jabatan Kehakiman mendenda Boeing lebih daripada USD24 bilion.

Manakala Pengarah Eksekutif Yayasan Keselamatan Penerbangan dan bekas Pengurus Kanan Boeing, Ed Pierson berkata pengakuan itu sangat mengecewakan dan perjanjian yang mengerikan untuk keadilan.

“Daripada meminta individu bertanggungjawab, mereka pada dasarnya memberi Boeing satu lagi kad bebas penjara,” katanya.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman menyatakan perjanjian itu tidak memberikan imuniti kepada individu dan hanya menangani tindakan korporat yang berlaku sebelum 737 Max terhempas.

Sebuah pesawat Boeing 737 Max yang dikendalikan oleh Lion Air Indonesia terhempas pada akhir Oktober 2018 sejurus selepas berlepas, mengorbankan kesemua 189 penumpang.

Beberapa bulan kemudian, sebuah pesawat Ethiopian Airlines terhempas, mengorbankan  157 penumpang dan anak kapal.

Dalam perjanjian 2021, Boeing bersetuju membayar USD2.5 bilion untuk menyelesaikan perkara itu, termasuk penalti jenayah USD243 juta dan USD500 juta kepada dana mangsa.

Perjanjian itu menimbulkan kemarahan ahli keluarga, yang tidak dirujuk mengenai syarat dan telah meminta syarikat itu dibicarakan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here