Ford hidupkan semula nama klasik Capri jadi crossover EV

239

Ford baru sahaja melancarkan sebuah crossover elektrik (EV) serba baharu yang direka untuk pasaran Eropah dengan menggunakan kembali nama klasik Capri.

Crossover coupe Capri ini dibina berdasarkan platform MEB Volkswagen yang turut sama digunakan untuk model Ford Explorer EV, serta model VW ID.4 dan ID.5.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,634 mm, lebar 1,872 mm, tinggi 1,626 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,767 mm.



Rekaan luaran Capri EV ini turut membawakan rujukan daripada model klasik Capri era 70-an dan 80-an.

Seperti contoh bahagian ‘jeriji kosong’ berwarna hitam yang menghubungkan lampu utama kiri dan kanan, grafik lampu DRL, tingkap sisi belakang berbentuk oval, spoiler ekor itik dan grafik lampu belakang yang mengingatkan kita pada model Capri Mk3.

Ford Capri EV turut mengekalkan layout pacuan roda belakang untuk model asasnya, di mana versi motor elektrik tunggal mampu menjana kuasa setinggi 282 hp dan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.4 saat.

Pek bateri 77 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 627 km dengan sokongan pengecasan pantas 135 kW (pengecasan 28 minit dari 10-80 peratus SoC).

Sementara versi pacuan semua roda pula menggunakan dua motor elektrik berkuasa 335 hp, pek bateri berkapasiti 79 kWh dan pecutan 0-100 km/j sepantas 5.3 saat.

Menurut Ford, Capri EV dengan pek bateri 79 kWh boleh dipandu sejauh 592 km, dengan sokongan pengecasan 185 kW yang lebih pantas di mana anda hanya perlukan masa 26 minit sahaja dari 10-80 peratus SoC.

Susun atur ruang kabin Capri EV tidak membawakan perubahan yang ketara berbanding model Ford Explorer EV.

Secara standard, pembeli akan dibekalkan dengan ciri seperti roda stereng gaya klasik, kawalan iklim dua zon, tempat duduk boleh laras 12 cara dengan fungsi urut, pengecasan peranti tanpa wayar, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan sistem kemasukan tanpa kunci.

Beralih kepada model Premium, anda akan mendapat tambahan ciri sistem audio B&O 10 pembesar suara berserta subwoofer, sistem pencahayaan ambien, pilihan rim 19 atau 20 inci, serta tambahan ciri keselamatan.

Setakat ini, Ford masih belum mengumumkan harga jualan sebenar bagi model Capri EV untuk pasaran Eropah.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here