Jualan Suzuki Jimny akan dihentikan di Eropah bermula tahun ini, dengan Jerman antara negara pertama yang akan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Namun sebelum itu, peminat Jimny di Jerman berpeluang untuk mengabadikan cinta mereka kepada SUV mini ikonik itu dengan mendapatkan model edisi istimewa yang dikenali sebagai Jimny Horizon.
Dengan pengeluaran terhad kepada 900 unit sahaja, Jimny Horizon boleh dibezakan dengan versi standard menerusi warna luaran Medium Gray yang merupakan satu-satunya pilihan warna yang ada untuk model ini.
Rona klasik itu diserlahkan lagi menerusi set pelekat berwarna hitam, gril retro dengan tulisan ‘SUZUKI’, plat skid pada bahagian depan dan sisi, pelindung tayar gantian, pelapik lumpur, serta rim kompang.
Tiada sebarang penambahbaikan dari segi mekanikal. Ini bermakna enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang sedia ada kekal dengan 102PS dan 130Nm.
Jimny biasanya boleh didapati dengan transmisi automatik empat kelajuan namun untuk Horizon, Suzuki hanya menawarkan versi manual. Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda.
Harga jualan Jimny Horizon bermula dari €32,340 (RM164,161) iaitu kira-kira €2,850 (RM14,476) lebih mahal berbanding versi standard.
Walaupun jualannya dihentikan, ini bukanlah ‘jalan mati’ untuk Jimny di Eropah. Suzuki dilaporkan sedang membangunkan model baharu yang menggunakan pacuan elektrik yang bakal memasuki pasaran menjelang 2030.