Ariel Motor Company baru sahaja melancarkan model generasi kedua jentera buggy off-road Nomad 2 dengan membawakan rupa paras yang hampir sama dengan model terdahulu.
Biarpun dengan penampilan yang agak seiras, akan tetapi syarikat itu mendakwa mereka hanya mengekalkan tiga komponen sahaja daripada model terdahulu.
Casis tiub Nomad 2 mempunyai rekaan yang lebih ringkas, namun dengan tahap kekakuan kilasan meningkat sebanyak 60 peratus.
Nomad 2 berukuran sepanjang 3,400 mm, lebar 1,862 mm, tinggi 1,475 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,396 mm, diikuti sudut pendekatan sebesar 48 darjah dan sudut pelepasan 64 darjah.
Nadi K24 Honda yang digunakan pada model asal telah digantikan dengan enjin 2.3 liter turbo daripada Ford Focus ST, dengan hamburan kuasa 305 hp dan 518 Nm terima kasih kepada pemetaan ECU spesifik.
Enjin tersebut turut menampilkan sistem kemasukan udara baharu, radiator yang lebih besar, dan sistem penapisan udara berkembar bagi melindungi komponen intercooler daripada bendasing laluan off-road.
Selain itu, tangki bahan api telah dibesarkan sebanyak 40 peratus kepada 70 liter, dengan jarak pemanduan sejauh 885 km untuk setangki minyak penuh.
Menurut Ariel, dengan berat sekitar 711 kg, Nomad 2 mampu memecut sepantas 3.4 saat dari 0-96 km/j sebelum mencecah kelajuan tertinggi 216 km/j.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan kotak gear manual enam nisbah kelajuan atau transmisi jenis sekuential Quaife enam-kelajuan yang dibantu dengan komponen LSD.
Secara standard, Nomad 2 didatangkan dengan sistem suspensi jenis double wishbone, peredam gegelung aluminium K-Tech dan spring Eibach, dengan pilihan naik taraf kepada peredam boleh laras Ohlins TTX atau peredam boleh laras dua tahap Bilstein.
Nomad 2 juga dilengkapi dengan sistem brek 40 peratus lebih besar berbanding model terdahulu, diikuti dengan mod pelancaran, kawalan cengkaman dan sistem ABS.
Harga jualan Ariel Nomad 2 di pasaran UK bermula dari £67,992 (RM441,645) dengan lebih 100 buah aksesori tersedia untuk dipilih pembeli.