Mazda 323F tahun 1990 untuk dijual, RM91k, kondisi bilik pameran!

221

Pengedar kereta di Switzerland, Heinz Macchi menyenaraikan sebuah jentera tahun 1990-an dengan kondisi bilik pameran untuk dilepaskan kepada mereka yang berminat.

Kereta yang dimaksudkan itu merupakan sebuah Mazda 323F Astina tahun 1990 yang telah lama disimpan oleh pengedar itu selepas anak dan isteri pemilik kereta tersebut meninggal dunia.



Dengan jarak perbatuan sekitar 630 km, boleh dikatakan ia masih lagi memiliki kondisi yang hampir sempurna, memandangkan kereta tersebut tidak pernah didaftarkan dan dipandu atas jalan raya selepas keluar dari kilang.

Mazda 323F ini boleh dikatakan sebagai atuk kepada model Mazda3 sedia ada masa kini, di mana ia muncul pada tahun 1989 di Jepun sebagai varian yang lebih sporti kepada model standard Mazda 323/Familia.

Selain bentuk badan fastback lima pintu, Mazda 323F ini turut menampilkan spoiler belakang, lampu belakang yang lebar, serta tidak ketinggalan lampu utama jenis pop-up.

Unit Mazda 323F yang dipamerkan ini menggandingkan warna biru cerah pada bahagian luar dan dalam, diikuti tingkap manual, dan bumbung suria berkuasa.

Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.8 liter yang mampu menyalurkan kuasa kepada roda depan menerusi kotak gear manual lima kelajuan.

Mazda 323F yang berusia 34 tahun ini dijual di laman eBay pada harga bermula dari €17,950 (RM91,390), agak mahal namun mungkin sekali berbaloi untuk dimiliki melihatkan kondisi luaran dan dalaman yang cukup cemerlang itu.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here