Firma perundingan terkemuka Alixpartners menjangkakan daripada 137 pengeluar EV dari China yang ada sekarang, hanya 19 yang mampu mencatatkan keuntungan menjelang 2030.
Ramalan itu dibuat berdasarkan perang harga yang berlanjutan sejak dua tahun lalu dalam pasaran domestik China dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti.
Syarikat-syarikat besar seperti BYD mempunyai margin yang membolehkan mereka menurunkan harga beberapa kali untuk menyingkirkan pesaing-pesaing dengan margin kecil tetapi terpaksa memotong harga semata ingin kekal di pasaran.
Perang harga tersebut telah menjejaskan beberapa jenama lokal, termasuk WM Motor yang memfailkan notis muflis pada 2023. Alixpartners meramalkan banyak lagi syarikat yang akan turut mengalami nasib yang sama.
Menurut laporan Bloomberg, penganalisis meramalkan bahawa jenama yang tidak dapat membuat keuntungan akan meninggalkan industri atau menukar taktik dan merebut bahagian kecil dalam pasaran.
Sementara itu, gergasi seperti BYD dan Tesla akan terus kukuh. Pakar dari Alixpartners berkata pengeluar-pengeluar kenderaan dari China dijangka akan memegang 33 peratus pasaran kereta global menjelang 2030 dan 45 peratus jualan kenderaan tenaga baharu.
Tambah Alixpartners, pekerja untuk jenama-jenama China boleh melakukan kerja lebih masa sehingga 140 jam sebulan, berbanding 20 jam yang dilakukan oleh pekerja syarikat legasi.
Bukan itu sahaja, pelaburan peringkat nasional dalam bateri dan teknologi material turut memberikan kelebihan kepada jenama-jenama China.