Dakwa kelirukan pengguna, pemilik Mirai fail saman terhadap Toyota

203

Sekumpulan pemilik Toyota Mirai dilaporkan telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap bahagian pemasaran syarikat itu atas dakwaan mengelirukan pengguna tentang kereta hidrogen itu.

Pihak plaintif mendakwa mereka kecewa atas sebab-sebab seperti kekurangan stesen pengisian yang beroperasi, kekurangan bekalan hidrogen, harga hidrogen yang melambung tinggi dan jarak gerak yang jauh lebih pendek berbanding apa yang diiklankan.

Menurut tuntutan yang difailkan itu, Toyota dan jurujualnya memberitahu bakal pembeli Mirai bahawa “hidrogen sentiasa tersedia” dan “Mirai boleh diisi semula dengan lancar” serta “setanding dengan mengisi semula dengan petrol”.



Namun realitinya jauh panggang dari api. Pemilik Mirai dilaporkan sering menghadapi masalah mencari stesen yang serasi, selain berhadapan dengan isu seperti kad isian semula yang tidak sesuai serta peralatan yang rosak.

Dakwa mereka lagi, masalah ini menyebabkan Mirai tidak boleh dipakai, sekali gus memaksa mereka untuk mendapatkan khidmat trak tunda atau pengangkutan alternatif.

Bukan itu sahaja, pemilik Mirai juga mendakwa kadangkala hidrogen tidak tersedia selama beberapa hari lamanya. Isian semula pula mengambil masa yang lama akibat masalah pam membeku, membuatkan pemilik perlu menunggu kira-kira 30 minit untuk mencabut semula pam.

Tidak cukup dengan itu, jarak gerak Mirai iaitu 575 km untuk varian Limited dan 647 km untuk XLE dikatakan tidak realistik. Pemandu melaporkan jarak yang dicapai adalah 160 km lebih pendek berbanding apa yang diiklankan oleh Toyota.

Tuntutan tersebut turut menyebut kenaikan harga hidrogen sebanyak 200 peratus dalam masa beberapa tahun iaitu dari $13/kg pada 2022 hingga $36/kg pada tahun ini.

Kenaikan ini bermakna kad isian semula bernilai $15,000 yang diberikan oleh Toyota sebagai insentif semasa pembelian tidak dapat tahan sehingga lima tahun seperti yang diiklankan.

Akhir sekali, pemilik Mirai mendakwa semua masalah berkenaan telah menjejaskan harga jualan semula kereta itu. Menurut laporan, Mirai mengekalkan 19.4 peratus daripada harga asalnya hanya selepas lima tahun digunakan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here