Industri automotif sentiasa diisi dengan pelbagai kenderaan baharu dan sejak kebelakangan ini jenama China meluaskan jangkauan pasaran.
Pengeluar kenderaan China semakin popular seluruh dunia bahkan jenama tersebut agresif memasarkan kenderaan ke pasaran Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Dalam industri automotif yang sentiasa berkembang, memahami sasaran demografi untuk setiap model kenderaan adalah penting waima bagi pengguna mahupun pengeluar.
Misalnya Chery yang merupakan salah satu pemain terkemuka dalam segmen SUV. Di Malaysia, jenama itu memperkenalkan dua model Chery Tiggo 7 dan Omoda 5.
Walaupun berkongsi lencana yang sama, sasaran konsumer SUV itu adalah berbeza. Memilih antara Chery Tiggo 7 dan Omoda 5 bergantung pada keperluan khusus, gaya hidup dan pilihan.
Jadi siapakah sasaran atau pengguna yang ideal bagi Tiggo 7 dan Omoda 5 :
TINGGO 7 PRO
Jika anda ketua keluarga kecil dan sering melakukan perjalanan jauh serta mengutamakan ruang kargo yang luas, jawapannya adalah Tiggo 7.
Ruang but berkapasiti 475 liter yang boleh dipertingkatkan hingga 1,672 liter apabila kerusi belakang dilipat sepenuhnya, dapat memenuhi keperluan keluarga kecil ketika melakukan kembara mahupun kegunaan harian.
Dengan panjang 4,500mm, lebar (2,710mm) dan jarak roda (2,670mm) menawarkan ruang kepala dan kaki yang selesa buat ahli keluarga. Ideal buat mereka yang mengutamakan keselesaan dalam kabin.
Tiggo 7 juga sesuai buat golongan profesional kelas pertengahan kerana menawarkan keseimbangan kemewahan dan kemampuan yang mencari kenderaan bergaya dan selesa tanpa tanda harga premium.
Ia dilengkapkan dengan ciri peralatan termaju dan teknologi moden serta sistem hiburan yang bakal menarik minat pelanggan yang mahir teknologi.
Tiggo 7 didatangkan lengkap dengan Sistem Bantuan Pemandu 2.5 (ADAS 2.5) yang dijual pada harga hanya RM120k.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan dua skrin berkembar 24.6-inci sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, 8-pembesar suara Sony serta kamera panorama 540 darjah definisi tinggi.
OMODA 5
Manakala Omoda 5 pula ideal buat golongan profesional muda atau pembeli kereta kali pertama yang mencari kenderaan mampu milik tetapi mengutamakan daya tarikan estetik dan reka bentuk sporty.
Dengan garis bumbung yang rendah dan reka bentuk lampu depan yang tirus, lampu selekoh LED berturutan dan efek pencahayaan pada lampu depan dan belakang masa kini memenuhi selera ‘orang muda’.
SUV kompak dengan dimensi panjang 4,400mm, lebar (1,830mm), tinggi (1,585mm) dan jarak roda (2,630mm) itu menawarkan pengendalian lincah yang sesuai untuk pemanduan dalam bandar.
Buat anda yang mementingkan teknologi termaju dan keselamatan, rekaan papan pemuka Omoda 5 mengikuti tren terkini yang mana skrin kluster meter bersaiz 10.25-inci disatukan bersama skrin infotainmen hingga ke konsol tengah.
Skrin hiburan bersaiz 10.25-inci itu juga boleh disambung ke Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ciri keselamatan juga tidak ‘dikurangkan’ walaupun ditawarkan pada harga mula RM108,800.
Omoda 5 dilengkapi dengan Bantuan Pemanduan Termaju dan segudang ciri keselamatan standard seperti Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBD), Sistem Bantuan Brek (BA) dan Sistem Ambil Alih Brek (BOS), Program Kestabilan Elekronik (ESP) dan lain-lain.
Kedua-dua Chery Tiggo 7 dan Omoda 5 menawarkan kelebihan unik yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan yang berbeza.
Dengan memahami keutamaan dan gaya hidup, anda boleh membuat keputusan yang paling sesuai dengan keperluan peribadi dan pemanduan anda serta masih berada dalam lingkungan bajet.