Lexus LBX Morizo RR, crossover mewah dengan ‘jantung’ GR Yaris

206

Di Tokyo Auto Salon (2024) yang berlangsung pada Januari lalu, Lexus mempertontonkan LBX Morizo RR Concept, crossover berteraskan prestasi yang dinamakan sempena nama gelaran pengerusi Toyota iaitu Akio Toyoda.

Kini, model konsep itu akhirnya menjadi realiti dengan pengenalan versi produksi. Ia sudah pun dibuka untuk tempahan di Jepun dan bakal dilancarkan secara rasmi pada Ogos depan.



Dibangunkan dengan input daripada Toyoda sendiri, LBX Morizo RR dikuasakan oleh enjin 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti GR Yaris dan GR Corolla.

Kuasa yang dihasilkan sama seperti kedua-dua model berkenaan iaitu 300 hp dan 400 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100KMj dalam 5.2 saat sahaja. Bagaimanapun, kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Menariknya, LBX Morizo RR boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan. Tidak kira transmisi apa yang dipilih, kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan semua roda.

Namun kelajuan bukanlah sasaran utama Lexus. Untuk memberikan pengendalian yang mantap, ia menggunakan Response-Enhancing Damping Structure (REDS) pada lower arm bahagian depan.

Selain itu, Lexus turut menaik taraf sistem brek dan memasang rim tempaan berukuran 19 inci yang dibalut tayar 235/45.

LBX Morizo RR mempunyai ukuran panjang (4,190 mm) yang sama dengan versi standard namun sebagai model prestasi, ia 15 mm lebih lebar (1,840 mm) dan 10 mm lebih rendah (1,535 mm).

Penampilannya juga jauh berbeza, dengan rekaan bampar depan dan belakang yang lebih sporty, liang udara yang lebih besar dan muncung ekzos berkembar pada bahagian belakang.

Menurut Lexus, bampar dan gril unik itu bukan sahaja membuatkan LBX Morizo RR nampak lebih garang malah mempunyai manfaat dari segi penyejukan dan aerodinamik.

Ruang dalaman pula tidak menampilkan banyak perubahan kecuali penambahan tempat duduk sport dan pedal aluminium untuk pemanduan yang lebih agresif.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here