Dacia Sandero telah dinobatkan sebagai kereta yang paling laris di Eropah bagi 2024, mengalahkan model kenderaan yang popular seperti Renault Clio dan Volkswagen Golf.
Hatchback subkompak tersebut bukan sahaja beraksi cemerlang di Eropah, malah angka jualan di peringkat global juga turut mencecah 164,780 unit dengan peningkatan sebanyak 18.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2023.
Berdasarkan data jualan, Dacia Sandero merupakan antara kereta yang paling laris terjual di Perancis dengan harga jualan bawah GBP11,990 (RM61,000).
Malah di UK, Dacia Sandero masih lagi kekal sebagai antara kereta yang paling murah harganya, bermula dari GBP13,795 (RM83,000).
Harus diingat, generasi ketiga Dacia Sandero mula ditawarkan pada 2020 yang mana tiada satu pun opsyen enjin hibrid elektrik ditawarkan kepada pengguna.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan enjin 1.0 liter NA tiga silinder sebaris berkuasa 65 hp yang dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan, enjin 1.0 liter turbo (90 hp) dengan padanan kotak gear manual atau CVT, serta enjin berkuasa 100 hp berserta transmisi manual enam kelajuan.
Tahun lalu, Dacia Sandero hampir berjaya menduduki tangga teratas kereta paling laris di Eropah dengan perbezaan angka jualan kurang 14,000 unit berbanding Tesla Model Y.
Untuk tahun ini, SUV elektrik buatan Amerika Syarikat itu terpaksa berpuas hati di tangga kelapan.