Bayangkan, labur duit berjuta-juta untuk beli supercar idaman, tapi kena kutuk sebab supercar tersebut datang dengan enjin tiga silinder sebaris sahaja.
Mungkin keadaan itu membuatkan tidak ramai pelanggan Koenigsegg memilih untuk mendapatkan grand tourer 4-tempat duduk Gemera dengan spesifikasi enjin 2.0 liter Tiny Friendly Giant (TFG) berkuasa sehingga 1,400hp itu.
Dalam satu episod podcast Top Gear Magazine, pengasasnya Christian von Koenigsegg mendedahkan jumlah tempahan yang diterima untuk Gemera tiga silinder terlalu kecil, membuatkan beliau meminta pelanggan itu menukar varian enjin V8.
“Ringkasnya, semua pelanggan dapat Gemera V8.
“Terlalu sedikit pelanggan yang menempah model berenjin 3 silinder, kami berjaya meyakinkan mereka untuk menukar model yang ditempah,” ujar Christian kepada Jack Rix, Top Gear.
Atas kertas, spesifikasi Gemera V8 memang mengujakan.
Nadi berkapasiti 5.0 liter V8 turbo berkembar itu dipadankan dengan motor elektrik ‘Dark Matter’ dengan kuasa keseluruhan 2,300hp dan tork 2,750Nm, jauh lebih bertenaga berbanding Gemera tiga silinder.
Enjin tiga silinder TFG sebenarnya merupakan salah satu enjin yang menarik pernah dihasilkan Koenigsegg.
Dengan sistem Freevalve yang dibangunkan oleh Koenigsegg, enjin tiga silinder itu tidak memerlukan komponen camshaft macam enjin tradisional, sebaliknya menggunakan electro-hydraulic-pneumatic lifter kawalan komputer untuk mengawal sistem kemasukan dan injap ekzos.
Enjin itu sahaja sudah cukup berupaya menjana kuasa setinggi 600hp, sebelum digandingkan dengan motor elektrik Dark Matter untuk output 1,400hp dan 1,850 Nm.
Menurut Christian, enjin tiga silinder tersebut tidak akan dikuburkan terus, sebaliknya mungkin akan ditampilkan pada model istimewa Gemera yang akan dihasilkan kelak.