Zhejiang Geely Holding Group (Geely) merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai pasaran berikutnya untuk kenderaan yang menggunakan bahan bakar bio metanol.
Langkah ini diambil setelah kejayaan yang dicapai di China dan ujian yang dijalankan di beberapa buah negara Eropah termasuklah Denmark.
Kemasukan ke pasaran Malaysia merupakan kunci penting dalam visi antarabangsa Geely untuk menyediakan teknologi yang lebih baik dan bersih.
Dengan memiliki kualiti dan manfaat dalam mencapai sasaran pengurangan emisi karbon, bahan api metanol juga lebih mudah untuk dikendalikan dan disimpan berbanding hidrogen.
Selain itu, metanol juga dikatakan jauh lebih bersih berbanding petrol, menjadikannya lebih sesuai dalam langkah menangani perubahan iklim global.
Geely sendiri mendakwa telah menghasilkan lebih 30,000 unit kenderaan yang dipacu bahan bakar metanol di atas jalan raya dengan gabungan perbatuan melebihi 10 bilion kilometer.
Antara model metanol yang dilancarkan termasuklah Geely Emgrand (Proton S70) yang dikuasakan enjin 1.8 liter (130 hp/175 Nm) bersama motor elektrik (134 hp/320 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 265 hp dan 495 Nm yang dibantu dengan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission).
Selain itu, Geely menerusi divisyen kenderaan perdagangan Farizon turut melancarkan trak tugas berat M100 yang difahamkan trak tugas berat produksi pertama di dunia menggunakan bahan bakar metanol bagi menggantikan diesel.
Menurut Naib Presiden Geely merangkap Presiden New Energy Powertrain R&D Centre, Wang Ruiping, Geely bersedia untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung kerjasama berpotensi itu.
Kerjasama yang terjalin antara Geely dengan Proton sebelum ini termasuklah penglibatan dalam Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dilihat mampu mempercepatkan lagi proses pembangunan dan penghasilan kenderaan metanol di Malaysia.
Adakah jenama automotif lokal Proton bersedia untuk memasarkan kenderaan yang dikuasakan bahan bakar alternatif baharu untuk pasaran Malaysia kelak?.