Sukar untuk melihat pemilik supercar memandu jentera eksotik mereka melebihi jarak perbatuan 100,000km apatah lagi 50,000km atau 10,000km.
Bahkan supercar itu kadang kala hanya disimpan rapi dalam garaj berhawa dingin bagi menjaga nilai harga jualan kenderaan.
Namun, sebaliknya bagi pemilik supercar ini yang juga merupakan YouTuber. Simon George yang menetap di England merekodkan jarak perbatuan 482,000km pada jentera Lamborghini Murcielago miliknya.
Kejayaan ini sebenarnya tidak dilakukan George sendiri. Beliau menjalankan perniagaan sewa supercar yang mana Lamborghini Murcielago berwarna jingga itu dilenjan para pelanggannya dalam litar lumba.
Pencapaian Murcielago jauh lebih bermakna kerana rekod tersebut bukanlah dikumpul menerusi pemanduan santai di lebuh raya pada putaran enjin 2,500rpm semata.
Odometer 482,000km itu dicapai ketika George membuat keputusan kembara dari England menuju ke Automobili Lamborghini di Itali.
Perjalanan tersebut turut melalui St Gotthard Pass di kawasan pergunungan Alps sebelum beliau merekodkan perbatuan hampir setengah juta kilometer ketika dalam perjalanan pulang ke England.
Lamborghini Murcielago merupakan sebuah supercar V12 yang dihasilkan antara tahun 2001 hingga 2010 sebagai pengganti kepada model Diablo.
Ia merupakan supercar V12 Lamborghini terakhir yang dilengkapi dengan kotak gear manual manakala Gallardo nadi V10 pula merupakan model terakhir Lamborghini yang ditawarkan dengan pilihan yang serupa.